Bagi sesiapa yang mengikuti perjalanan seni Nur Fazura Sharifuddin, atau lebih dikenali sebagai Fazura, pasti mengetahui pelbagai liku dan cabaran yang pernah dilaluinya. Nama Fazura yang dikenali ramai hari ini bukan dibina dalam sehari—ia hasil ketabahan, keyakinan diri dan semangat yang tidak pernah luntur.
Sejak awal kemunculannya, perjalanan seninya bukanlah mudah. Namun dengan usaha gigih dan kepercayaan terhadap diri sendiri, Fazura berjaya mengukir nama dalam industri seni dan meraih tempat istimewa di hati para peminat.

Anak kelahiran Pekan, Pahang ini juga pernah membanggakan negara apabila mempunyai rancangan realiti sendiri, Facing Up To Fazura, yang disiarkan di saluran E! News Asia. Sepanjang kerjayanya, Fazura telah memenangi pelbagai anugerah dan penghargaan dalam bidang lakonan. Setiap watak yang dilakonkan meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.
Kini, pada usia 41 tahun, Fazura masih kekal menawan dan sering digelar sebagai antara wanita tercantik di Malaysia. Penampilan semula jadinya dengan solekan tipis dan kulit wajah polos menjadikan beliau ikon kecantikan yang tersendiri.
KEMBALI DENGAN ‘LUAR BIASA’
Terbaharu, Fazura muncul dengan sisi baharu melalui single bertajuk ‘Luar Biasa’, menandakan langkah segar dalam perjalanan seninya selepas kejayaan dalam bidang lakonan, nyanyian dan perniagaan.
Apa yang menarik, lirik lagu ini seolah-olah mencerminkan perasaan dan pengalaman yang sedang beliau alami, lebih-lebih lagi selepas perpisahan dengan bekas suami, Fattah Amin. Seperti karya-karyanya sebelum ini, ‘Luar Biasa’ turut menyampaikan mesej yang positif—kisah seorang wanita yang menghargai diri, berdamai dengan takdir, dan kekal kuat tanpa menyalahkan keadaan.

Lagu ini merupakan kolaborasi istimewa bersama Ade Govinda, artis dari Indonesia yang terkenal dengan karya-karya bermakna. Fazura, yang turut menulis sebahagian lirik bersama Veron Savanoah, menyatakan rasa syukur kerana dapat terlibat dalam projek penuh inspirasi ini.
“Saya sangat tersentuh dengan lirik ‘Jatuh itu biasa, bangun itu luar biasa’. Ia benar-benar menggambarkan realiti kehidupan kita. Setiap orang ada perjuangan tersendiri. Yang penting adalah semangat untuk bangkit demi diri sendiri dan orang tersayang. Dengan niat yang baik dan keyakinan kepada Allah, kita mampu melaluinya dengan tenang,” ujar Fazura.
Ade Govinda pula berkata:
“Saya cipta lagu ini untuk semua insan yang pernah jatuh, supaya mereka tahu bahawa bangkit itu lebih luar biasa daripada jatuh. Lagu ini lahir dari hati, dan saya berharap ia menjadi pembakar semangat dalam kehidupan seharian pendengar.”
Beliau juga bertindak sebagai komposer, penyusun dan penerbit lagu ini.








Leave a comment