Penyanyi muda Syasya Rizal tampil memeriahkan musim perayaan dengan single raya terbaharu berjudul Inikan Hari Raya. Lagu ceria ini membawa mesej tentang kebersamaan, kesyukuran dan kesederhanaan, sambil mengingatkan bahawa makna sebenar Aidilfitri terletak pada kebahagiaan bersama keluarga dan insan tersayang.
Lagu ini ditulis oleh Syasya bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, dengan susunan muzik yang ringan dan ceria bagi menonjolkan suasana perayaan yang hangat. Melalui liriknya, lagu ini menegaskan bahawa Hari Raya tetap bermakna walaupun disambut secara sederhana.
Menurut Syasya, lagu ini juga cukup istimewa kerana ia merupakan pengalaman pertamanya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Kini, sambutan Aidilfitri turut membawa makna lebih mendalam buatnya apabila dapat diraikan bersama suami dan dua anaknya.
Syasya berharap “Inikan Hari Raya” dapat menjadi lagu yang mengingatkan pendengar kepada kenangan indah Hari Raya serta perkara kecil yang penuh makna seperti berkumpul, menikmati juadah bersama keluarga dan mensyukuri setiap momen kebersamaan.









Leave a comment