Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan, tampil dengan sebuah eksperimen muzik baharu menerusi single terbaharu berjudul Ajar Aku, hasil kolaborasi bersama band post-hardcore popular, Sekumpulan Orang Gila (SOG).
Diterbitkan oleh Kasi Gegar Entertainment (KGE), lagu ini menyatukan dua identiti muzik yang berbeza – kelembutan melodi dan emosi yang sinonim dengan Aizat serta tenaga agresif yang menjadi kekuatan SOG. Hasilnya, Ajar Aku hadir sebagai sebuah karya pop rock progresif dengan sentuhan alternatif moden dan elemen sinematik yang segar.
Menariknya, lagu ini tercipta secara spontan ketika sesi rakaman Dari Studio Podcast, podcast kendalian Aizat yang memberi fokus kepada proses penciptaan lagu secara langsung. SOG yang hadir sebagai tetamu ketika itu akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif yang melahirkan karya tersebut.
Dari sudut penceritaan, Ajar Aku membawa mesej tentang keberanian mengetepikan ego untuk terus belajar, menerima nasihat serta menghargai bimbingan daripada orang di sekeliling. Tema yang dekat dengan kehidupan itu diterjemahkan melalui gabungan vokal soulful Aizat dan karakter rock yang dibawakan vokalis SOG, Raja Nazrin Shah.
Lagu ini turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi Anas Amdan yang menyuntik elemen strings dan tekstur sinematik, sekali gus memberikan dimensi yang lebih dramatik kepada keseluruhan karya.
Salah satu kejutan istimewa dalam Ajar Aku adalah kemunculan penyanyi antarabangsa, Yuna, yang menyumbangkan vokal pada bahagian penghujung lagu. Menurut Aizat, bahagian tersebut pada asalnya hanya menggunakan suara AI sebagai demo sebelum Yuna menawarkan diri untuk merakamkan vokal sebenar selepas mendengar lagu itu di studio.
Bagi Aizat, kolaborasi ini bukan sekadar percubaan menggabungkan dua genre berbeza, tetapi juga usaha untuk memperluaskan landskap muzik tempatan dengan pendekatan yang lebih berani dan terbuka.
“Harapan saya agar pendengar dapat menerima gabungan bunyi baharu ini dan melihat bahawa muzik tempatan juga mampu bereksperimen tanpa kehilangan emosi serta kejujurannya,” katanya.
Ajar Aku kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.








Leave a comment