Selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan, juara Akademi Fantasia Musim Ke-5, Mila Jirin, akhirnya kembali mengubat kerinduan peminat menerusi single terbaharu berjudul “Tersimpan Dalam Hati”.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu baharu, karya balada moden itu menjadi simbol perjalanan hidup Mila yang tidak pernah benar-benar meninggalkan cintanya terhadap muzik walaupun sibuk membangunkan Bizmilla sehingga berjaya mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu di seluruh Malaysia.

Di sebalik kejayaan itu, Mila mengakui pernah merasakan impiannya untuk kembali menyanyi hampir terkubur apabila industri acara dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian untuk kembali menyanyi masih ada ruang dalam hidup saya. Tetapi saya percaya, jika sesuatu impian itu benar-benar ikhlas, Allah akan menemukan jalannya pada waktu yang paling tepat,” katanya.

Menurut Mila, “Tersimpan Dalam Hati” mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang dipendam, sekali gus menjadi refleksi perjalanan dirinya sebagai usahawan, isteri, ibu dan anak seni.

“Ramai mengenali saya sebagai usahawan. Tetapi jauh di sudut hati, saya masih seorang penyanyi. Dunia muzik adalah tempat saya bermula. Saya percaya sudah tiba masanya untuk kembali berkongsi karya dengan para peminat.”

Single ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso, dengan lirik nukilan Aisah Rizky itu dirakam sepenuhnya di Jakarta sebagai sebahagian daripada kolaborasi kreatif antara Malaysia dan Indonesia. Pengedaran digital pula dikendalikan oleh Nova Music.

Mila turut mendedahkan beliau sedang menyiapkan sebuah album baharu yang diterbitkan oleh suaminya, Ailis Mustapha, menerusi Bizmedia Marketing dan dijangka dilancarkan pada penghujung tahun 2026.

Video muzik rasmi “Tersimpan Dalam Hati” turut menjalani penggambaran di luar kota Jakarta di bawah arahan pengarah Indonesia, Wahyu Taufani Prialangga, dengan idea dan konsep penceritaan dibangunkan sendiri oleh Mila.

Bagi penyanyi itu, “Tersimpan Dalam Hati” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi bukti bahawa impian tidak pernah mempunyai tarikh luput. Selepas bertahun-tahun menyimpannya, Mila akhirnya bersedia berkongsi kisah itu dengan seluruh Malaysia.

Leave a comment

2,114 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |