Tidak mahu terus dikenali hanya sebagai pelawak, Achey membuktikan dirinya turut mempunyai bakat dalam bidang nyanyian apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Gadis Ayu.
Menariknya, lagu yang diterbitkan di bawah label 1711 Music itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Achey sendiri, merangkumi melodi dan lirik. Menggabungkan irama rancak dengan jalan cerita cinta yang unik, Gadis Ayu hadir sebagai sebuah karya santai yang cukup menghiburkan.
Menurut Achey, lagu berkenaan sebenarnya lahir daripada imaginasi sendiri dan bukannya berdasarkan pengalaman peribadi. Ia mengisahkan seorang lelaki yang sukar melupakan pertemuan pertama dengan seorang wanita, biarpun perkenalan mereka bermula dalam situasi yang agak memalukan.
“Lagu ini sebenarnya tidak ada kena-mengena secara langsung dengan kehidupan saya. Semuanya datang daripada imaginasi sendiri kerana saya mahu menghasilkan lagu rancak yang mempunyai jalan cerita.
“Ia berkisarkan bibit percintaan antara seorang lelaki dan wanita yang bertemu dalam keadaan agak luar biasa. Saya tidak mengharapkan orang menganggap lagu ini sebagai ciptaan yang terlalu hebat, sebaliknya cukup sekadar mereka terhibur dan menikmati muziknya,” katanya.
Pelawak Pun Ada Bakat Menyanyi
Bercakap mengenai pembabitannya dalam bidang muzik, Achey menegaskan bahawa seseorang pelawak tidak seharusnya terikat dengan satu bidang seni sahaja.
Baginya, setiap individu mempunyai bakat dan minat tersendiri yang boleh diterokai, termasuk dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.
Malah, Achey mengakui lebih selesa menghasilkan karya sendiri kerana ia memberikannya kebebasan untuk mengekspresikan kreativiti mengikut cita rasa sendiri.
“Pada saya, seorang pelawak tidak semestinya hanya tahu melawak. Kita mempunyai pelbagai bakat dan minat yang boleh diterokai.
“Saya memang suka mencipta lagu dan menyanyi. Orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi kalau kita terlalu memikirkan pandangan orang, sampai bila-bila kita tidak akan bergerak ke hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman menghasilkan lagu raya berentak rancak sebelum ini turut memberikan keyakinan untuk mencuba pendekatan sama menerusi karya yang boleh dinikmati sepanjang tahun.
Jika sebelum ini pendengar lebih mengenalinya dengan lagu-lagu raya yang rancak, kali ini Achey mahu membuktikan muzik sebegitu juga sesuai diketengahkan di luar musim perayaan.

Terus Percaya 1711 Music, Tak Kejar Populariti Segera
Dalam pada itu, Achey turut menghargai sokongan 1711 Music yang sudah bersamanya sejak penghasilan single pertama.
Menurutnya, hubungan baik yang terjalin membolehkan dia berkarya dengan lebih selesa, selain mendapat sokongan dari segi penerbitan dan strategi promosi.
“Kerjasama saya dengan 1711 Music sudah bermula sejak lagu pertama lagi. Mereka memberikan ruang untuk saya berkarya dan sentiasa berusaha membantu dari segi penerbitan serta promosi.
“Alhamdulillah, kami mempunyai persefahaman yang baik dan saya sangat menghargai kepercayaan serta sokongan mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai persaingan dalam industri muzik yang semakin mencabar, Achey mengakui dia tidak terlalu mengejar populariti segera atau mengharapkan setiap lagu yang dilancarkan terus mendapat sambutan luar biasa.
Sebaliknya, dia lebih selesa memberikan tumpuan kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Bukan semua orang akan menyukai kita dan saya tidak boleh memaksa semua orang menerima muzik saya. Apa yang penting, kita menjaga peminat yang sedia ada dan terus menghasilkan karya terbaik.
“Saya juga tidak kisah kalau lagu tidak terus mendapat sambutan luar biasa pada awal pelancaran. Promosi perlu dilakukan secara berterusan kerana mungkin selepas beberapa bulan, lagu itu akan menemui pendengarnya sendiri,” jelasnya.
Tidak hanya mahu bergerak secara solo, Achey juga terbuka untuk menghasilkan lebih banyak lagu ciptaan sendiri pada masa akan datang, termasuk menjalinkan kolaborasi dengan penyanyi lain.
Dia turut tidak menolak peluang untuk terus membantu mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik tempatan.
Menerusi Gadis Ayu, Achey berharap lagu berkenaan dapat diterima sebagai sebuah karya ringan yang mampu menceriakan pendengar, sekali gus memperlihatkan sisi dirinya sebagai penghibur serba boleh.
Untuk peminat yang ingin mendengar karya terbaharu Achey, single Gadis Ayu mula distrim di semua platform muzik digital pada Jumaat, 16 Oktober 2026.
Muzik video rasmi lagu itu juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama, jam 3 petang.
Jadi, jangan lupa tonton muzik video Gadis Ayu menerusi pautan berikut:








Leave a Reply