Paduan mantap “rockreestra” antara penyanyi, Amir Masdi dan pelajar dari Sekolah Seri Puteri mencipta kenangan indah buat penonton yang hadir ke konsert Winds of Glory: AM: PM and SPWinds In Concert.

Persembahan luar biasa yang menggabungkan elemen rock dan orkestra itu bukan sahaja berjaya memukau peminat, malah turut mendapat perhatian serta pujian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pujian tersebut dikongsikan oleh Pengetua Sekolah Seri Puteri, Julaila Yahya yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri amat kagum dengan persembahan penuh tenaga yang ditampilkan.

Lebih istimewa, Amir atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi turut menyampaikan lagu-lagu kegemaran Perdana Menteri, termasuk karya ciptaan M. Nasir serta lagu “Azizah” yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Mengulas pujian itu, penyanyi lagu Nurcinta tersebut menyifatkannya bukan hanya miliknya, sebaliknya kejayaan bersama pasukan Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang mengiringi persembahan.

“Nampak tak bulu roma saya meremang? Apabila beliau memberikan pujian, saya berbesar hati menerimanya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga buat SPWinds.

“Tanpa SPWinds, suara saya tidak akan kedengaran seindah itu, selain sokongan pasukan produksi dan semua yang terlibat.

“Secara peribadi, saya bersama SPWinds ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan dan kata-kata positif,” katanya ketika ditemui sejurus selepas tamat konsert pada 25 April lalu.

Konsert ini diadakan sebagai inisiatif pengumpulan dana bagi membolehkan SPWinds menyertai pertandingan orkestra antarabangsa, World Music Contest 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan di Kerkrade, Belanda.

Seramai 92 pelajar terlibat dalam persembahan tersebut, membuktikan kemampuan luar biasa pelajar sekolah dalam mengendalikan produksi berskala besar.

Lebih mengagumkan, hampir 28 buah lagu berjaya dipersembahkan sepanjang konsert berlangsung, meskipun tempoh latihan yang diperuntukkan agak singkat.

Sebagai rekod, SPWinds turut mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih Anugerah Emas dalam World Orchestra Festival ke-11 yang berlangsung di Vienna tahun lalu.

Leave a comment

1,384 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |