Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruh besarnya dalam landskap muzik global apabila single “Die On This Hill” nyanyian Sienna Spiro berjaya menduduki No. 1 Carta Harian Spotify Top 50 Malaysia, selain tersenarai sebagai antara kandungan trending di YouTube Malaysia.

Kejayaan luar biasa ini didorong oleh sokongan padu pendengar tempatan, termasuk gelombang cover lagu oleh artis dan pencipta kandungan Malaysia yang tular di media sosial, sekali gus menjadikan negara ini antara pasaran paling berpengaruh dalam lonjakan populariti lagu berkenaan.

Lebih 173 Juta Strim Global & Dominasi Carta Antarabangsa

Sehingga kini, “Die On This Hill” telah mengumpul lebih 173 juta strim global, sambil mencatat pencapaian membanggakan di pelbagai carta utama dunia. Lagu ini berjaya menduduki kedudukan #12 di Amerika Syarikat, selain meraih #1 dan kulit hadapan playlist Today’s Top Hits di Spotify.

Single ini turut tersenarai dalam carta di 28 pasaran global, dengan Top 50 di 20 negara, dan jumlah tersebut terus meningkat. Di peringkat carta rasmi, “Die On This Hill” mencapai #9 Carta Single UK, #15 Carta Lagu Apple Music Global dan Amerika Syarikat, serta debut di Carta Billboard Hot 100 pada kedudukan #54 dan terus menunjukkan peningkatan.

Fenomena Cover Artis Malaysia Cetus Gelombang Viral

Fenomena lagu ini di Malaysia mula mencuri perhatian apabila beberapa artis tempatan terkenal seperti Ernie Zakri, Diana Danielle dan Syamel memuat naik versi cover masing-masing di platform seperti TikTok dan YouTube. Sokongan turut disertai oleh ramai pencipta kandungan tempatan, sekali gus memperluas jangkauan lagu ini ke khalayak yang lebih besar.

Secara kolektif, kandungan berkaitan “Die On This Hill” di Malaysia telah mencatat lebih 220 juta tontonan di TikTok, menjadikannya antara topik muzik paling hangat dan trending di negara ini ketika ini.

Reaksi Istimewa Sienna Spiro Buat Peminat Malaysia

Menambah keterujaan peminat, Sienna Spiro sendiri meninggalkan komen pada video cover Ernie Zakri dan Syamel di TikTok dengan pujian ringkas, “Love this” disertai emoji hati. Interaksi tersebut sekali gus mengukuhkan lagi hubungan emosional antara penyanyi antarabangsa itu dengan peminat di Malaysia.

Kejayaan “Die On This Hill” bukan sahaja menandakan pencapaian peribadi buat Sienna Spiro, malah menjadi bukti jelas bahawa Malaysia kini memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan lagu-lagu antarabangsa di peringkat global.

Leave a comment

1,384 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |