Universal Music Malaysia (UMMY) bersama L.Y. Music Factory dan Faithful Music secara rasmi melancarkan edisi pertama “Bintang Uni-Verse”, sebuah program pencarian bakat khas untuk pelajar universiti yang berminat dalam bidang nyanyian dan industri muzik.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Binti Azman, sekali gus menandakan kerjasama strategik antara industri muzik dan institusi pendidikan tinggi.
Bintang Uni-Verse bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya sebuah platform pembelajaran yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar universiti tentang dunia sebenar industri hiburan. Peserta akan berpeluang menerima bimbingan, pengalaman industri serta akses kepada rangkaian profesional muzik tempatan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di pejabat Universal Music Malaysia turut menyaksikan pemeteraian kerjasama antara UMMY dan lima universiti awam terkemuka iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, program ini diwujudkan untuk menghubungkan bakat muda dengan peluang sebenar dalam industri muzik.
“Bintang Uni-Verse adalah platform di mana bakat bertemu peluang. Kami berharap inisiatif ini dapat membina jaringan kukuh antara universiti awam dan industri muzik tempatan, serta melahirkan generasi artis baharu yang berdaya saing,” katanya.
Pengarah Kreatif L.Y. Music Factory, L.Y., pula menegaskan bahawa Bintang Uni-Verse memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang peserta.
“Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang pemindahan ilmu di mana pemain industri berkongsi pengalaman sebenar. Kami mahu program ini menjadi jambatan antara pembelajaran dan kerjaya profesional dalam industri muzik,” jelasnya.

Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan artis naungan Universal Music Malaysia seperti Nuha Bahrin, Ismail Izzani dan Mohsein Kush. Mohsein Kush turut memberi kata semangat kepada peserta agar sentiasa berusaha keras dan tidak mudah berputus asa, manakala Nuha Bahrin berharap program ini dapat membantu peserta membina keyakinan dan memberi impak positif dalam industri muzik.
Melalui Bintang Uni-Verse, bakat muda tempatan bakal diperkasakan dengan pengalaman profesional, pendedahan industri serta peluang untuk melangkah ke peringkat serantau dan antarabangsa. Maklumat lanjut mengenai uji bakat, jelajah kampus dan penyertaan akan diumumkan tidak lama lagi menerusi platform rasmi Universal Music Malaysia.








Leave a comment