Kumpulan rock popular, Akim & The Majistret, mencipta fenomena apabila single terbaharu mereka, “Juliet”, berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, menjadi satu-satunya lagu Melayu dalam Top 3, bersaing dengan dua lagu antarabangsa paling popular.

Vokalis kumpulan, Akim Ahmad, menyifatkan kejayaan ini sebagai hadiah paling bermakna selepas penat menyiapkan lagu yang sarat dengan emosi dan penceritaan.

“Kami tidak sangka Juliet mendapat sambutan sebegini hebat. Ia bukti muzik tempatan masih kuat jika disokong peminat,” katanya.

Kejayaan ini juga hadir secara organik tanpa sebarang gimik, hasil sokongan peminat yang menerima kekuatan lagu itu sendiri. Akim menambah, ia menjadi motivasi untuk kumpulan terus berkarya dengan lebih jujur dan matang.

“Selagi kami ikhlas berkarya, Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” jelasnya.

Lebih menarik, video muzik rasmi “Juliet” bakal ditayangkan secara eksklusif di YouTube Nova Music pada Jumaat ini jam 3 petang. Video ini menampilkan sembilan wanita membawa watak ‘Juliet’, termasuk selebriti ternama tanah air seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana, dan Farahdiya.

Menurut Akim, setiap ‘Juliet’ membawa makna berbeza, simbol kepada kekuatan, luka dan keindahan emosi seorang wanita, menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar balada cinta.

Sejak dilancarkan, Juliet menerima reaksi positif di pelbagai platform digital, mengukuhkan kedudukan Akim & The Majistret sebagai salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam muzik tempatan. Dengan pencapaian di iTunes Malaysia dan pelancaran video muzik yang dinanti-nantikan, Juliet dijangka terus mengukir sejarah tersendiri dalam perjalanan seni mereka.

Leave a comment

1,384 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |