Setahun lalu, suasana Ramadan dan Syawal dimeriahkan dengan kehadiran lagu “Raya Pum Pang” nyanyian Fazura bersama Syasya Rizal. Terbaharu, lagu tersebut kembali mencuri perhatian apabila diperdengarkan sebagai muzik iringan dalam sebuah acara fesyen, menyaksikan Fazura tampil berkolaborasi bersama anaknya, Nur Fatima Aisya, di pentas anjuran jenama tekstil terkenal, Jakel.

Penampilan istimewa itu sekali gus memperkenalkan versi baharu berjudul “Raya Pum Pang Lagi”, yang pantas menjadi siulan ramai. Rata-rata memuji kelunakan suara Fatima yang comel serta kejelasannya menyebut setiap lirik, menjadikan lagu tersebut lebih segar dan menyentuh hati.

Menurut Fazura, idea menghasilkan versi terbaharu ini hadir secara spontan dan penuh makna. “Sejujurnya, idea ini datang secara sangat natural. Tahun lepas bila ‘Raya Pum Pang’ keluar, Fatima selalu ikut menyanyi di rumah. Dia hafal lirik dan siap buat gaya sendiri. Dari situ saya rasa, kenapa tak jadikan memori kecil itu sesuatu yang lebih bermakna? ‘Raya Pum Pang Lagi’ bukan sekadar versi baharu, tetapi versi yang menyimpan kenangan kami berdua sebagai ibu dan anak,” kongsinya.

Beliau turut menegaskan bahawa lagu tersebut lahir daripada rasa hati, bukan perancangan komersial. Walaupun berpeluang tampil bersama di pentas besar, Fazura menjelaskan bahawa inti utama lagu ini tetap berteraskan kasih sayang, memori dan suasana Raya dalam keluarga. Jika ada jenama yang turut meraikan nilai kekeluargaan dan tradisi, itu disifatkannya sebagai satu bonus yang indah.

Mengimbau momen rakaman, Fazura mengakui detik tersebut sangat menyentuh perasaan. “Fatima menyanyi dengan penuh yakin dan bangga, seolah-olah dia benar-benar faham bahawa dia sebahagian daripada lagu ini. Sebagai ibu, melihat dia berdiri di hadapan mikrofon dengan semangat begitu memang membuatkan saya tersentuh. Ia lebih daripada sekadar rakaman lagu, tetapi kenangan yang akan saya simpan sampai bila-bila.”

Melalui “Raya Pum Pang Lagi”, Fazura berharap lagu ini mampu menjadi latar kepada memori baharu yang tercipta di setiap rumah sepanjang Aidilfitri, sekali gus mengingatkan bahawa makna sebenar Syawal terletak pada kebersamaan dan kasih sayang keluarga.

Leave a comment

1,384 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |