Selepas setahun mewarnai industri M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA meraikan ulang tahun pertama penubuhan mereka dengan pelancaran album studio penuh pertama berjudul The First Wave.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Pavilion Damansara Heights itu menjadi simbolik kepada perjalanan tujuh anggota ALPHA iaitu Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky yang berjaya membina pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat sepanjang tahun pertama mereka.

Album yang diterbitkan di bawah Rocketfuel Entertainment itu menampilkan 12 buah lagu termasuk beberapa karya popular seperti Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan Gelato. Turut dimuatkan ialah lagu-lagu baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire dan Dia yang menampilkan AG Coco.

Antara lagu yang paling mencuri perhatian ialah Burn It Down, yang dirakamkan ketika ALPHA menjalani latihan intensif di Korea Selatan menerusi program ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter. Lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa, Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah bekerjasama dengan artis K-Pop terkenal.

Menurut Daniel Sher, The First Wave merupakan hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan ALPHA sejak hari pertama, manakala Izat menyifatkan album tersebut sebagai karya yang memperlihatkan sisi lebih matang dan versatil kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam berkata pelancaran album sulung ini membuktikan potensi besar ALPHA untuk terus berkembang dan mengangkat identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Dengan sokongan peminat yang semakin kukuh serta perkembangan muzik yang memberangsangkan, The First Wave menjadi penanda aras baharu buat ALPHA dalam meneruskan perjalanan seni mereka.

Leave a comment

1,870 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |