Bahang menjelang konsert mega “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” semakin terasa apabila kumpulan legenda Indonesia, Ungu, bersedia menghadiahkan malam penuh emosi, nostalgia dan kejutan eksklusif buat peminat Malaysia pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.
Selepas tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara dengan deretan lagu malar segar seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati, Ungu bakal membawa peminat mengimbau perjalanan seni mereka menerusi sebuah persembahan istimewa yang dijangka sarat dengan kenangan.
Keterujaan peminat turut terbukti apabila jualan tiket telah mencecah 50 peratus sejak diumumkan. Malah, pihak penganjur dijangka membuka beberapa kategori tempat duduk baharu susulan permintaan yang semakin meningkat.
Lebih menarik, penyanyi popular tanah air, Marsha Milan, diumumkan sebagai artis jemputan khas untuk malam bersejarah tersebut. Pemilihannya bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya dipilih sendiri oleh anggota Ungu yang mengagumi kekuatan vokal dan penghayatan emosinya.
Menurut Ungu, Marsha memiliki karakter suara yang kuat serta mampu menyampaikan emosi dengan begitu mendalam, sekali gus menjadikan beliau pilihan terbaik untuk berkongsi pentas sempena ulang tahun ke-30 mereka.
Konsert yang dibawakan oleh COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment ini bakal membawa penonton menyelusuri perjalanan seni Ungu menerusi tiga segmen utama iaitu The Birth, The Peak dan The Legacy.
Setiap segmen akan diperkaya dengan elemen visual, penceritaan dan susunan muzik yang lebih imersif bagi menghidupkan semula detik-detik penting sepanjang perjalanan karier mereka.
Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy, berkata fokus utama penganjur adalah untuk memastikan malam tersebut menjadi sebuah pengalaman yang lebih dekat dan bermakna buat peminat yang telah membesar bersama lagu-lagu Ungu.
“Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah malam yang meraikan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia,” katanya.
Selain persembahan daripada Ungu dan Marsha Milan, beberapa kejutan eksklusif turut dirancang dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pastinya, selepas 30 tahun mengukir nama dalam industri muzik, Ungu bersedia menghadiahkan sebuah malam yang bukan sahaja meraikan karya mereka, malah menghargai kesetiaan peminat yang sentiasa bersama sepanjang perjalanan tersebut.








Leave a comment