Filem seram pendek SULUH mencuri perhatian apabila merangkul sembilan anugerah pada malam kemuncak CUT! anjuran Ampersand Advisory, sekali gus mengiktiraf bakat baharu pembikin filem tempatan.

KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Filem seram pendek tempatan, SULUH, muncul sebagai karya paling menyerlah apabila membolot sembilan anugerah pada malam kemuncak SCREAMING NIGHT: CUT! Awards & Screening yang berlangsung di GSC, Mid Valley Megamall pada 30 Oktober lalu.

Menerusi kemenangan tersebut, SULUH berjaya membawa pulang anugerah utama iaitu Filem Seram Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Skrip Terbaik.

Filem berkenaan turut mengungguli kategori Suntingan Terbaik, Adegan Paling Menakutkan, Kostum Terbaik, Rambut dan Solekan Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dimenangi Nur Humaira.

Dianjurkan oleh Ampersand Advisory, CUT! merupakan pertandingan filem seram pendek peringkat kebangsaan yang diwujudkan bagi mencungkil bakat baharu dalam industri perfileman Malaysia.

Edisi sulung pertandingan itu menerima sebanyak 40 penyertaan sebelum 24 filem terbaik disenarai pendek untuk dipertontonkan kepada penonton di layar lebar.

Menariknya, peserta dicabar menghasilkan sebuah karya seram yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton dalam tempoh kurang lima minit.

NIZHAL dan FREKUENSI turut mencuri perhatian

Selain SULUH, filem NIZHAL turut mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM7,500.

NIZHAL turut memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Thurgga Sharon serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi Kuhan Vijayakumar.

Sementara itu, FREKUENSI menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM5,000, manakala Liishvaar daripada filem RESULT dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Dua lagi filem yang berjaya melangkah ke peringkat akhir ialah MIMICRY dan SANNIDHI. Kedua-duanya masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500.

MIMICRY turut memenangi kategori Penggunaan Muzik Terbaik, manakala SANDARAN MANZIL terbitan KKTM Rembau meraih dua pengiktirafan iaitu Filem Pelajar Terbaik dan Filem Terbaik yang Dirakam Sepenuhnya Menggunakan Telefon Pintar.

Taylor’s University pula menerima pengiktirafan sebagai institusi pengajian tinggi dengan jumlah penyertaan filem terbanyak.

Bagi pemenang utama SULUH, kejayaan itu turut disertai hadiah wang tunai RM10,000 serta peralatan pengimejan Canon bagi membantu pasukan produksi terus mengembangkan kemahiran dalam bidang perfileman.

Platform mencungkil bakat pembikin filem baharu

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Ampersand Advisory, Sandeep Joseph berkata, penganjuran CUT! edisi pertama membuktikan Malaysia mempunyai ramai bakat pembikin filem yang berpotensi untuk diketengahkan.

Menurutnya, keaslian idea, kreativiti dan kemampuan teknikal yang dipamerkan menerusi karya peserta menunjukkan industri perfileman tempatan mempunyai masa depan yang cukup cerah.

Beliau turut menyifatkan CUT! bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya platform untuk membuka peluang kepada pembikin filem baharu mendapatkan pendedahan, pengiktirafan industri dan ruang mengembangkan bakat mereka.

Dalam pada itu, Canon Marketing Malaysia yang bertindak sebagai Rakan Pengimejan Rasmi CUT! turut menyumbangkan peralatan pengimejan Canon sebagai hadiah kepada pemenang.

Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong pembikin filem muda tempatan dalam meneroka kreativiti serta menghasilkan karya penceritaan visual yang lebih berkualiti.

Bermula dengan filem pendek Sup Daging

Menariknya, idea penganjuran CUT! turut mempunyai kaitan dengan eksperimen kreatif Ampersand Advisory menerusi filem seram psikologi pendek berjudul Sup Daging yang diterbitkan sempena Hari Wanita Antarabangsa pada Mac 2026.

Dihasilkan oleh bakat Gen Z agensi berkenaan, Maimunah Wahab dan Chloee Pang, filem tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila meraih lebih 750,000 tontonan dalam talian setakat Oktober 2026.

Kejayaan Sup Daging kemudian membuka ruang kepada lebih ramai bakat kreatif di seluruh negara untuk mengetengahkan hasil karya masing-masing menerusi pertandingan CUT!.

CUT! 2 bakal kembali pada 2027

Susulan sambutan positif edisi sulung, Ampersand Advisory kini merancang untuk meneruskan pertandingan tersebut menerusi CUT! 2.

Penyertaan bagi edisi kedua dijadualkan dibuka tidak lama lagi dengan tarikh tutup penghantaran karya pada 27 April 2027.

Mengekalkan format pertandingan secara dalam talian, CUT! 2 sekali lagi akan memberi peluang kepada pembikin filem baharu untuk mempamerkan kreativiti, idea serta kemampuan menghasilkan karya seram pendek yang berkualiti.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pembukaan penyertaan dan syarat pertandingan boleh didapati menerusi laman web rasmi https://ampersand-advisory.com/cut/.

Leave a Reply

2,574 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |