Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, Ratu Rock Malaysia, Ella bakal menutup tirai perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 menerusi konsert istimewa, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 itu bakal menemui peminat di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sekali gus menjadi persembahan kemuncak bagi siri konsert berkenaan tahun ini.

Pengumuman rasmi yang dibuat di The Saujana Hotel Kuala Lumpur itu akhirnya menjawab persoalan peminat selepas Ella memberikan bayangan mengenai hasratnya untuk mengadakan sebuah lagi konsert sebelum penghujung tahun.

Malah, hasrat tersebut mula mencuri perhatian apabila Ella menyuarakannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, ketika meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25 minggu lalu.

Kini, impian itu menjadi kenyataan menerusi Sidang Penutup yang menjanjikan sebuah malam penuh kenangan buat Ella dan para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Yuna dan Datuk Ziana Zain Turut Beraksi Bersama Ella

Lebih menarik, konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen itu turut menampilkan dua penyanyi wanita terkenal tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain, sebagai artis undangan.

Kehadiran mereka pastinya memberikan warna tersendiri kepada Sidang Penutup, apatah lagi ketiga-tiga figura ini mempunyai identiti muzik dan perjalanan seni yang berbeza.

Yuna yang dikenali menerusi karya muzik kontemporari serta pencapaian di persada antarabangsa bakal membawa sentuhan tersendiri ke pentas berkenaan.

Pertemuan Yuna bersama Ella juga memperlihatkan bagaimana muzik mampu merentasi genre dan generasi, sekali gus menghimpunkan peminat dengan cita rasa berbeza dalam satu persembahan.

Sementara itu, kemunculan Datuk Ziana Zain pula menjadi kesinambungan daripada penampilannya menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang sebelum ini.

Selepas berkongsi pentas bersama Ella di negeri kelahiran Ratu Rock Malaysia itu, kemunculan semula Datuk Ziana di Kuala Lumpur pastinya memberikan peluang kepada lebih ramai peminat untuk menyaksikan gandingan istimewa mereka secara langsung.

Pengarah Jenama Rockqueen, Capt Azhar berkata, pemilihan kedua-dua penyanyi itu dibuat berdasarkan keunikan bakat masing-masing serta rasa saling menghargai antara mereka.

Ella Mahu Akhiri Perjalanan Dengan Kenangan Istimewa

Bagi Ella, Sidang Penutup bukan sekadar sebuah konsert tambahan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang tahun ini.

Ella menyifatkan perjalanan tersebut sebagai pengalaman luar biasa yang memberikannya peluang bertemu ribuan peminat di beberapa lokasi berbeza.

“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa dan penuh makna buat Ella. Daripada peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang, Ella sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan begitu ramai peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua.

“Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” katanya.

Untuk rekod, siri Majlis Tertinggi Rockqueen bermula dengan konsert berskala stadium di TM Stadium Nasional Bukit Jalil yang menghimpunkan 55,000 peminat.

Perjalanan itu kemudian diteruskan ke Singapura dengan kehadiran lebih 5,000 peminat, sebelum Pulau Pinang menjadi lokasi seterusnya dengan kira-kira 10,000 penonton.

Secara keseluruhan, tiga persembahan tersebut berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat, sekali gus memperlihatkan sambutan terhadap Ella yang sudah lebih empat dekad mewarnai industri muzik tempatan.

Peminat Boleh Pilih Tema dan Senarai Lagu Menerusi Audience Choice

Bukan itu sahaja, Sidang Penutup turut memperkenalkan konsep Audience Choice yang memberikan peluang kepada peminat untuk menentukan beberapa elemen penting persembahan.

Menerusi inisiatif tersebut, peminat berpeluang memberikan pilihan terhadap tema persembahan, senarai lagu serta beberapa elemen kejutan yang bakal disajikan pada malam berkenaan.

Pendekatan itu menjadikan Sidang Penutup lebih istimewa apabila peminat bukan sekadar hadir sebagai penonton, malah turut diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kreatif konsert.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, kejayaan menghimpunkan lebih 70,000 peminat sepanjang siri Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 merupakan pencapaian bermakna buat semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, kejayaan sesebuah konsert bukan hanya dinilai berdasarkan jumlah penonton, tetapi turut mengambil kira impak yang mampu diberikan kepada masyarakat.

“Apa yang menjadikan perjalanan ini lebih istimewa ialah peluang untuk membawa mesej Peace.Love.Rindu ke luar pentas persembahan, termasuk menerusi sumbangan kepada organisasi kebajikan.

“Untuk Sidang Penutup, kami mahu menjadikan peminat sebahagian daripada kemuncak perjalanan ini. Melalui konsep Audience Choice, mereka berpeluang menentukan beberapa elemen persembahan seperti tema dan senarai lagu.

“Kami mahu semua yang hadir merasakan bahawa malam ini juga milik mereka, kerana tanpa peminat, perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tidak mungkin mencapai kejayaan seperti hari ini,” katanya.

Legasi Ella Terus Diraikan Selepas Lebih Empat Dekad

Dalam pada itu, Rohit Rampal turut mengucapkan tahniah kepada Ella atas penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan bermakna terhadap sumbangan besar penyanyi berkenaan kepada industri muzik Malaysia.

Menurut Rohit, perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang tahun ini membuktikan bahawa karya dan legasi Ella terus mendapat tempat di hati peminat daripada pelbagai generasi.

Beliau turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Ella sejak 2023 menerusi Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, diikuti Jilid Rockestra: Rockers Juga Manusia sebelum diteruskan dengan Majlis Tertinggi Rockqueen.

“Ella sememangnya satu-satunya Ratu Rock tanah air yang telah mendedikasikan lebih empat dekad kehidupannya kepada muzik tanah air.

“Penerimaan Anugerah Sri Wirama merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna dan selayaknya diterima oleh beliau atas segala sumbangan serta legasi yang telah dibina selama ini.

“Sejak bekerjasama dengan Ella pada 2023, kami berpeluang menyaksikan sendiri kerja keras, dedikasi dan semangat luar biasa yang diberikan Ella dalam memastikan setiap persembahannya mempunyai nilai serta pengalaman tersendiri,” katanya.

Tiket Sidang Penutup Dijual Mulai 22 Oktober 2026

Buat peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan Ella, Yuna dan Datuk Ziana Zain berkongsi pentas, tiket Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup akan mula dijual pada 22 Oktober 2026, Khamis.

Harga tiket ditawarkan bermula RM179 dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web rasmi Hitman Live di www.hitmanlive.com.

Leave a Reply

2,525 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |