Peminat Rizky Febian, ini masa yang korang tunggu-tunggu! Penyanyi popular Indonesia itu bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi konsert “Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 29 November 2026 di Zepp KL.

Dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan oleh AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia, konsert ini pastinya menjadi antara momen istimewa buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula pelantun lagu Kesempurnaan Cinta itu di pentas Malaysia.

Lebih menarik, konsert kali ini bakal membawa peminat menyelami sisi muzik Rizky yang sinonim dengan kisah cinta, kerinduan dan perjalanan emosi menerusi karya-karyanya yang dekat di hati pendengar.

Rizky Febian Bawa ‘Malam Rawan’ Ke Zepp KL

Menerusi Malam Rawan, Rizky bakal menghidangkan sebuah persembahan yang menghimpunkan lagu-lagu popularnya bersama melodi yang mampu membuatkan penonton terbuai dengan emosi.

Dikenali dengan karakter vokal yang tersendiri, penyanyi berusia 28 tahun itu dijangka mencipta suasana romantik dan penuh perasaan, sekali gus mengajak peminat menyanyi bersama sepanjang malam.

Bagi Rizky, peluang untuk kembali bertemu peminat di Kuala Lumpur sememangnya membawa makna tersendiri.

“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.

“Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” katanya.

‘Kesempurnaan Cinta’, ‘Hingga Tua Bersama’ Antara Lagu Yang Dinantikan

Buat yang mengikuti perjalanan muzik Rizky sejak awal, pastinya ada beberapa lagu yang mempunyai tempat istimewa dalam hati korang.

Antara karya popular yang melonjakkan namanya termasuklah Kesempurnaan Cinta, Penantian Berharga, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama.

Lagu-lagu yang sarat dengan kisah percintaan dan emosi itu bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan peminat di Indonesia, malah turut mencuri perhatian pendengar muzik di Malaysia.

Dengan gaya persembahan dan vokal yang menjadi identitinya, Rizky terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyanyi pop Indonesia yang mempunyai pengaruh tersendiri di rantau ini.

Justeru, konsert Malam Rawan pastinya menjadi peluang buat peminat untuk menikmati sendiri karya-karya berkenaan secara langsung, sambil menghayati setiap bait lirik yang mungkin mengingatkan mereka kepada kisah tersendiri.

Tiket Mula Dijual 18 September, Harga Serendah RM228!

Korang yang sudah berkira-kira untuk menyaksikan persembahan Rizky Febian secara langsung, jangan lupa untuk mendapatkan tiket yang mula dijual pada 18 September 2026 menerusi platform Ticket2U.

Berikut merupakan kategori dan harga tiket yang ditawarkan:

CAT 1 (Standing): RM228

CAT 2 (Premium Seat): RM248

CAT 3 (Normal Seat): RM238

Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi pautan rasmi Ticket2U di https://www.ticket2u.com.my

Jadi, buat peminat Rizky Febian, inilah masanya untuk sama-sama menghayati malam penuh muzik, cinta dan emosi bersama penyanyi kesayangan korang pada 29 November ini!

Leave a Reply

2,525 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |