Penyanyi Ara Johari kembali mencuri perhatian peminat menerusi single terbaharu berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna (KYHS), sebuah lagu balada galau hasil kolaborasi bersama komposer tempatan, Aepul Roza dan Daus Drama Band.
Masih mengekalkan identiti muzik yang dekat dengan jiwa pendengar, Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, meneruskan kesinambungan karya beremosi selepas kejayaan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh.
Menurut Ara, lagu berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mengangkat kisah perpisahan yang mungkin pernah dilalui oleh sesiapa sahaja, terutama mereka yang terpaksa melepaskan seseorang walaupun hubungan yang dibina hampir sempurna.
“Sudah setahun lebih Aepul mengirimkan lagu ini pada Ara. Ara tunggu masa yang sesuai untuk release, dan sekarang adalah masa yang terbaik untuk Ara release lagu ini.
“Kisah Yang Hampir Sempurna mengisahkan tentang sebuah perhubungan yang berakhir dengan perpisahan, bukan kerana ada orang ketiga, namun kedua-dua hati tidak ditakdirkan untuk bersatu,” katanya.
Ara Johari Angkat Kisah Perpisahan Tanpa Orang Ketiga
Menariknya, Kisah Yang Hampir Sempurna tampil dengan penceritaan yang berbeza daripada kebiasaan lagu putus cinta yang sering dikaitkan dengan kecurangan atau konflik antara pasangan.
Sebaliknya, lagu ini mengetengahkan realiti bahawa tidak semua hubungan yang berakhir memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.
Bagi Ara, ada kalanya dua insan terpaksa membawa haluan masing-masing meskipun tiada pergaduhan besar atau kehadiran orang ketiga yang menjadi punca perpisahan.
“Kali ini penceritaan lagu ini tidak cliché kerana Ara rasa tak semua perpisahan itu harus berakhir dengan pergaduhan atau orang ketiga.
“Ada perpisahan yang tak perlukan alasan kenapa mereka harus berpisah,” ujarnya.
Pendekatan tersebut menjadikan lagu berkenaan dekat dengan pengalaman pendengar yang pernah melalui perpisahan tanpa jawapan yang jelas, sekali gus memberi ruang untuk mereka menghayati emosi di sebalik sebuah hubungan yang tidak kesampaian.
Kolaborasi Aepul Roza dan Daus Drama Band
Dari segi pembikinan, Kisah Yang Hampir Sempurna merupakan hasil ciptaan Aepul Roza dan Daus Drama Band, manakala liriknya ditulis oleh Aepul bersama Ara Johari.
Kolaborasi ini turut memperlihatkan usaha Ara untuk terus mengembangkan perjalanan muziknya menerusi karya bersama komposer tempatan.
Selepas menghasilkan lagu Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh, Ara mengakui ramai peminat menyuarakan harapan agar dia kembali tampil dengan lagu ciptaan komposer tempatan, termasuk karya yang berpotensi membawanya ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Sejak Ara release Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh, ramai peminat yang tanya bila nak ada lagu bersama komposer tempatan supaya dapat masuk AJL.
“Oleh kerana itu, Ara beranggapan inilah masa yang sesuai untuk Ara release lagu ini,” katanya.
Hun Haqeem Jadi Hero Muzik Video ‘Kisah Yang Hampir Sempurna’

Selain lagu yang sarat dengan emosi, muzik video rasmi Kisah Yang Hampir Sempurna turut menampilkan pelakon popular, Hun Haqeem sebagai hero.
Kehadiran Hun dijangka menambah daya tarikan kepada muzik video berkenaan, khususnya dalam menghidupkan penceritaan tentang hubungan yang berakhir meskipun pernah menyimpan harapan untuk bersama.
Dengan gabungan melodi balada, lirik yang menyentuh perasaan dan jalan cerita yang dekat dengan realiti kehidupan, single terbaharu Ara ini berpotensi menjadi pilihan peminat yang menggemari lagu-lagu galau.
Kisah Yang Hampir Sempurna yang diedarkan oleh Universal Music Malaysia mula dilancarkan pada Jumaat, 9 Oktober 2026 dan kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik digital.








Leave a Reply