Universal Music Malaysia bersama rakan strategik menguasai pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dengan meraih 14 kemenangan daripada 31 kategori kompetitif, sekali gus membuktikan kekuatan karya tempatan merentasi pelbagai genre.**

Malam Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Bumi Kenyalang, Sarawak, menyaksikan kejayaan membanggakan Universal Music Malaysia (UMMY) bersama barisan rakan strategiknya apabila membawa pulang 14 kemenangan daripada 31 kategori kompetitif yang dipertandingkan.

Pencapaian itu merangkumi 10 kemenangan daripada 23 Kategori Utama serta tiga lagi kemenangan dalam Kategori Pra-Anugerah, sekali gus meletakkan ekosistem Universal Music Malaysia dan rakan kerjasamanya antara penerima pengiktirafan terbesar pada edisi jubli perak anugerah berprestij itu. Kejayaan berkenaan turut membabitkan SN Legacy, Alternate Records, Aisha Retno Entertainment, MLQ Entertainment, Siti Nurhaliza Productions, Faithful Music, Trigger Happy Records dan XO House.

Nama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, nyata mencuri perhatian apabila membawa pulang empat trofi menerusi lagu-lagu yang terus mendapat tempat di hati peminat. Beliau meraih Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, selain memenangi kategori Kolaborasi Artis / Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis / Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya.

Lebih manis, lagu Pesanan Buat Diri mencipta kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai Lagu Tradisional Terbaik sebelum turut merangkul anugerah paling berprestij, Lagu Terbaik. Kemenangan itu sekali lagi memperlihatkan keistimewaan karya Siti Nurhaliza yang terus mewarnai industri muzik tempatan dengan sentuhan tersendiri.

Tidak hanya tertumpu kepada muzik pop dan tradisional, kejayaan Universal Music Malaysia dan rakan strategiknya turut merentasi pelbagai genre. Lagu Bila Sampai Waktu ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong menerusi Faithful Music memenangi Lagu Rock Terbaik, manakala Tanya Tuhan nyanyian Yonnyboii dan Malique di bawah EMI Malaysia serta Def Jam Recordings Malaysia diangkat sebagai Lagu Rap / Hip Hop Terbaik.

Sementara itu, lagu Matahari Malaya hasil ciptaan MC Syze, Noh Salleh dan Kidd Santhe menerusi Trigger Happy Records bersama Universal Music Malaysia memenangi Lagu Perpaduan Terbaik. Kepelbagaian kemenangan ini mencerminkan perkembangan muzik tempatan yang semakin luas, bukan sahaja dari segi genre, malah bahasa, kreativiti dan pendekatan dalam menghasilkan karya yang dekat dengan pendengar.

Sambutan luar biasa terhadap muzik di platform digital turut diterjemahkan menerusi kemenangan lagu Seni Berdamai Dengan Takdir terbitan XO House dan Universal Music Malaysia yang menerima pengiktirafan Lagu Paling Tinggi Distrim dalam Kategori Pra-Anugerah. Pengiktirafan tersebut memperlihatkan bagaimana karya tempatan terus mendapat perhatian pendengar dalam landskap muzik digital yang semakin berkembang.

Dalam kemeriahan meraikan kejayaan generasi baharu dan penggiat muzik masa kini, legenda rock tanah air, Ella, turut menerima penghormatan istimewa apabila dianugerahkan Anugerah Sri Wirama atas sumbangan sepanjang hayat, pencapaian serta pengaruh besarnya terhadap perkembangan industri muzik Malaysia.

Pengiktirafan tersebut menjadi detik penuh bermakna buat Ratu Rock negara itu yang telah mewarnai industri muzik selama beberapa dekad. Keupayaan Ella mengekalkan pengaruh dan relevansi karya-karyanya merentasi generasi membuktikan bahawa legasi seorang anak seni bukan sekadar diukur melalui populariti, tetapi juga menerusi impak yang ditinggalkan kepada industri.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menyifatkan kejayaan meraih 10 daripada 23 Kategori Utama dan 13 daripada keseluruhan 31 kategori kompetitif sebagai satu pencapaian yang amat bermakna buat seluruh keluarga Universal Music Malaysia dan rakan kerjasamanya.

Menurutnya, kemenangan tersebut bukan sekadar tentang jumlah trofi yang dibawa pulang, sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap kreativiti, keberanian serta kerja keras para artis, komposer, penulis lagu, penerbit, pemuzik, label rakan kongsi dan seluruh pasukan produksi yang terlibat.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara syarikat rakaman, label tempatan, artis dan komuniti kreatif memainkan peranan penting dalam membina ekosistem muzik Malaysia yang lebih kukuh serta berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Ella yang telah berkecimpung dalam industri muzik selama 38 tahun. Beliau menyifatkan perjalanan seni Ella sebagai satu legasi yang terus berkembang, dengan katalog muziknya masih mendapat sambutan daripada peminat pelbagai generasi.

Menerusi kerjasama bersama Ella, Universal Music Malaysia terus berusaha memperluaskan jangkauan katalog muzik penyanyi legenda itu, bermula daripada era Warnada Sdn. Bhd. sehingga kini. Keupayaan karya Ella untuk terus diterima membuktikan kekuatan muzik yang mampu merentasi perubahan zaman.

AIM25 bukan sekadar pentas meraikan kemenangan, malah menjadi saksi kepada perjalanan, dedikasi dan kreativiti penggiat muzik yang terus menghidupkan industri seni tanah air. Kejayaan Universal Music Malaysia dan rakan strategiknya, bersama pengiktirafan terhadap legenda seperti Ella, memperlihatkan kesinambungan antara generasi lama dan baharu dalam mencorakkan masa depan muzik Malaysia.

Leave a comment

2,350 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |