Pernah rasa diri sentiasa dihakimi? Pernah sampai satu tahap sudah tidak peduli apa orang mahu kata?

DOLLA menjadikan segala rasa kecewa, salah faham dan pandangan orang sebagai bahan bakar untuk melahirkan karya terbaharu mereka, ‘UGLY’.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu penuh tenaga, ‘UGLY’ hadir sebagai anthem keberanian dan harga diri, mengangkat mesej tentang keberanian untuk mengambil semula kawalan terhadap identiti sendiri tanpa membenarkan orang lain menentukan siapa diri mereka.

Bagi DOLLA, satu perkataan paling tepat untuk menggambarkan karya ini ialah ‘tanpa kompromi’.

“Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” kongsi DOLLA.

Mesej tersebut bukan sekadar lirik kosong kerana setiap anggota kumpulan itu sendiri pernah melalui pengalaman dihakimi dan disalahertikan dengan cara berbeza.

Daripada membiarkan pengalaman tersebut menjadi beban, DOLLA memilih untuk menukarkannya menjadi kekuatan menerusi ‘UGLY’.

Malah, lagu ini seolah-olah menjadi satu bentuk pelepasan emosi – apabila rasa sudah terlalu penat dengan pandangan orang, tiba masanya untuk berkata “sudah cukup” dan menentukan sendiri jalan yang mahu dipilih.

Wayang Kulit jadi inspirasi visual

Tidak hanya bergantung kepada kekuatan muzik, video muzik ‘UGLY’ turut tampil dengan konsep visual yang cukup mencuri perhatian apabila mengambil inspirasi daripada Wayang Kulit, seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia.

Permainan cahaya, bayang-bayang, pergerakan dan penceritaan digunakan bagi menggambarkan perbezaan antara persepsi dan kebenaran.

Menariknya, konsep tersebut membawa satu persoalan yang dekat dengan kehidupan manusia – sejauh mana kita benar-benar mengenali seseorang hanya berdasarkan apa yang kita nampak?

Seperti penonton yang hanya melihat bayang-bayang sesuatu watak dalam Wayang Kulit lalu membentuk tanggapan sendiri, manusia juga sering membuat penilaian berdasarkan penampilan, khabar angin atau cerita yang disampaikan oleh orang lain.

“Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan ‘UGLY’ kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain. Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran.”

“You better go run, you better go hide”

Jika ada satu bahagian yang dijangka mudah melekat di kepala pendengar, pastinya hook “You better go run, you better go hide.”

Energi penentangan itu turut diterjemahkan menerusi visual muzik yang intensif dan penuh misteri.

Menariknya, sebahagian besar dunia visual dalam video muzik tersebut hanya dapat dilihat selepas melalui proses pascaproduksi. Situasi itu memerlukan anggota DOLLA membayangkan sendiri skala serta suasana yang mahu diterjemahkan ketika berada di lokasi penggambaran.

Antara lokasi yang digunakan ialah sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir sepenuhnya gelap, sekali gus memberikan suasana misteri dan elemen tempatan yang kuat.

“Oleh sebab sebahagian besar dunia dalam video ini dihasilkan ketika pascaproduksi, kami perlu membayangkan banyak elemen dan tenaganya semasa membuat persembahan.”

Bagi DOLLA, pengalaman melihat hasil akhir yang berbeza daripada apa yang mereka bayangkan ketika penggambaran ternyata menjadi antara perkara paling mengujakan dalam penghasilan video muzik berkenaan.

DOLLA mahu pendengar ‘lepaskan’ apa yang membebankan

Lebih daripada mahu menghasilkan sebuah lagu yang rancak dan penuh tenaga, DOLLA berharap ‘UGLY’ dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang berdepan dengan tekanan pandangan orang lain.

Mereka mahu lagu ini dimainkan ketika pendengar berada dalam mood “baiklah, sudah cukup” – saat seseorang memilih untuk berhenti memikul beban tentang apa yang orang lain fikirkan.

“Mainkan lagu ini, ikut rentak anda sendiri dan jangan risau tentang apa yang orang lain mahu katakan.”

Selepas era ‘G.O.A.T’, DOLLA kini membuka lembaran baharu menerusi ‘UGLY’, membawa bersama sisi mereka yang lebih berani, kacau dan tanpa kompromi.

Dalam masa sama, kumpulan itu turut merancang untuk memberikan tumpuan lebih besar kepada persembahan di peringkat antarabangsa, mendekati peminat di luar Malaysia dan memperkukuh kehadiran mereka di pentas global.

Dengan ‘UGLY’, DOLLA bukan sekadar mengajak pendengar menikmati muzik – tetapi mengajak mereka untuk berdiri dengan identiti sendiri, biarpun dunia memilih untuk melihat hanya bayang-bayangnya.

Leave a comment

2,350 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |