Keretapi Sarong 2026 (KS26) kembali sempena sambutan Hari Malaysia dengan membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar mengenakan pakaian tradisional dan bergambar.
Meraikan ulang tahun ke-10 penganjurannya, KS26 kali ini mengangkat tema “Sayang Malaysia”, mengajak rakyat Malaysia untuk mengenali, menghormati dan meraikan individu di sekeliling mereka tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa, negeri mahupun latar belakang.
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman, berkata semangat Keretapi Sarong sebenarnya terletak pada hubungan yang terjalin sepanjang perjalanan.
Menurutnya, sarong, batik, songket, kebaya dan baju Melayu yang memenuhi stesen hanyalah sebahagian daripada kemeriahan, manakala perkara lebih penting adalah manusia yang berkongsi ruang dan pengalaman yang sama.
“Yang paling penting ialah insan yang berdiri di sisi kita — mungkin daripada kaum, bahasa, agama, negeri atau latar belakang yang berbeza, tetapi berkongsi tanah air yang sama,” katanya.
Bagi edisi tahun ini, peserta di Lembah Klang memulakan perjalanan dari 12 stesen terpilih di 10 bandar sebelum menuju ke destinasi rahsia di Raintree Plaza @ TRX.
Semangat sama turut diraikan komuniti di Padang Besar, Langkawi, Sungai Petani, George Town, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu dan Kuantan.
Edisi Kuching pula menjadi satu lagi detik istimewa apabila KS26 buat pertama kalinya diperluaskan secara rasmi ke luar Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, acara tersebut dijadualkan semula ke Disember 2026 susulan keadaan jerebu di Sarawak.

Menariknya, setiap lokasi tidak perlu mengikut bentuk sambutan yang sama. Sebaliknya, komuniti setempat diberi ruang untuk menzahirkan semangat Keretapi Sarong menerusi seni, muzik, pakaian serta identiti budaya masing-masing.
KS26 tahun ini turut memperkenalkan Women Station Only di Stesen MRT Titiwangsa, lokasi permulaan khas buat peserta wanita yang diwujudkan susulan permintaan komuniti. Inisiatif tersebut menawarkan ruang yang lebih selesa untuk wanita memulakan perjalanan, selain meraikan kreativiti, sumbangan dan kepimpinan wanita.
Lebih istimewa, ulang tahun ke-10 KS26 turut diserikan dengan lagu tema rasmi pertama, “Joget Sarong”, yang dipersembahkan oleh Aina Abdul dan Didie Shazry.
Lagu berkenaan memberikan rentak baharu kepada perjalanan Keretapi Sarong yang selama ini sinonim dengan muzik rakyat, persembahan spontan dan nyanyian beramai-ramai.
Dalam pada itu, KS26 turut mendapat sokongan pelbagai jenama dan organisasi termasuk MAGGI® Malaysia and Singapore, WONDA Kopi Tarik, Watsons Malaysia, NIVEA, Nando’s Malaysia dan AmBank Group sebagai rakan utama, selain sokongan daripada pelbagai rakan kolaborasi dan strategik.
Dengan penglibatan komuniti serta pelbagai rakan daripada sektor berbeza, Keretapi Sarong 2026 sekali lagi menjadikan pengangkutan awam sebagai ruang pertemuan rakyat Malaysia.
Lebih daripada sekadar sarong yang dipakai, muzik yang dimainkan atau gambar yang dirakam, “Sayang Malaysia” tahun ini membawa satu mesej mudah — menghargai Malaysia juga bermula dengan menghargai manusia yang berada di sekeliling kita.








Leave a comment