Pernah tak terima bungkusan yang kita sendiri tak pernah pesan? Mungkin nampak seperti perkara biasa, tetapi bagaimana jika bungkusan tersebut sebenarnya membawa satu sumpahan yang mengancam nyawa?

Itulah antara perkara yang cuba diketengahkan menerusi filem seram Indonesia terbaharu, Paket Santet, yang bakal membuatkan penonton berfikir dua kali sebelum menerima atau membuka bungkusan yang tidak diketahui asal-usulnya.

Tidak dinafikan, perasaan sakit hati, iri hati dan dendam yang dipendam terlalu lama boleh membawa kemudaratan. Lebih membimbangkan apabila perasaan tersebut akhirnya mendorong seseorang melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan.

Menonton Paket Santet membuatkan penulis lebih berhati-hati, bukan untuk bersangka buruk terhadap orang sekeliling, tetapi sebagai peringatan bahawa setiap perbuatan dan layanan kita terhadap orang lain boleh meninggalkan kesan yang mendalam.

Mengangkat kisah persahabatan yang akhirnya musnah akibat perasaan iri hati dan dendam, filem arahan Dinna Jasanti ini membawa penonton menyelami sisi gelap hubungan sesama manusia.

Mungkin ada antara kita yang tidak sedar atau mengambil remeh perasaan orang di sekeliling. Namun, apabila rasa kecewa dan sakit hati dibiarkan berpanjangan tanpa diselesaikan, ia boleh bertukar menjadi dendam yang membawa padah.

Dari awal hingga ke penghujung cerita, elemen seram yang dipaparkan sememangnya cukup kuat. Suasana dalam pawagam juga tidak kurang hebatnya apabila kedengaran jeritan penonton setiap kali babak-babak mengerikan muncul di layar.

Bukan sekadar kejutan mengejut atau jump scare, filem ini turut bermain dengan emosi dan debaran. Ada babak yang mungkin sudah dapat dijangka, namun tetap membuatkan penonton tidak senang duduk menantikan apa yang bakal berlaku seterusnya.

Menariknya, di sebalik kisah santet dan gangguan misteri, Paket Santet turut menyampaikan mesej tentang akibat perbuatan silam serta dendam seseorang yang pernah disakiti.

Paket Santet sesuai untuk peminat filem seram yang gemarkan kisah penuh misteri, kejutan dan elemen seram yang membuatkan bulu roma meremang.

Jadi, buat peminat filem seram Indonesia, jangan lepaskan peluang menyaksikan Paket Santet di pawagam Malaysia bermula 12 November 2026 menerusi edaran GSC Movies.

Ingat, bukan semua bungkusan yang sampai ke rumah membawa berita gembira. Ada juga yang mungkin membawa mimpi ngeri!

Jom ke pawagam!

Leave a Reply

2,635 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |