Bakat muda Malaysia, Atta Rumnan, 19, terus mencuri perhatian apabila diberi peluang membuat persembahan di Indonesia sebelum menerima undangan istimewa daripada penyanyi tersohor Indonesia, Dato’ Sri Rossa, untuk berduet di Sabah.
Lebih membanggakan, Atta menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang membuat persembahan di Remember Fest, Indonesia, yang turut menampilkan barisan artis popular seperti Padi Reborn, Dewa 19, Rossa, Tulus, Mahalini dan Hindia.
Namun, kejutan lebih bermakna hadir apabila Rossa sendiri mengundang Atta untuk berkongsi pentas dengannya dalam sebuah acara seni di Sabah.
Menariknya, Atta tidak mempunyai banyak masa untuk membuat persiapan kerana mereka tidak sempat menjalani latihan bersama. Dia hanya berpeluang menjalani sesi sound check bersama pemuzik pengiring Rossa sebelum membuat persembahan.
Walaupun berdepan cabaran itu, Atta berjaya memberikan persembahan yang mendapat sambutan positif daripada penonton dan tetamu kenamaan yang hadir.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Kasih Tak Sampai, lagu Mandarin Wo Men Bu Yi Yang serta single terbaharunya, Maafkan. Keupayaannya menyanyi dalam bahasa Mandarin turut menjadi kelebihan tersendiri.
Malah, persembahan Atta turut mendapat pujian daripada Rossa menerusi komen di media sosialnya.
“Atta, you did great. Thank you for saying yes to the duet,” tulis Rossa.
Pujian tersebut pastinya menjadi suntikan semangat buat Atta yang sedang membina nama dalam industri muzik.
Pada usia 19 tahun, peluang beraksi di festival muzik Indonesia dan berkongsi pentas dengan penyanyi terkenal seperti Rossa merupakan satu pengalaman berharga.
Jelas, perjalanan seni Atta Rumnan semakin menunjukkan perkembangan positif, sekali gus membuktikan bakat anak muda Malaysia mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh ke pasaran muzik serantau.









Leave a Reply