Personaliti kulinari terkenal tanah air, Chef Anis Nabilah, terus mengukuhkan namanya dalam industri masakan apabila dinobatkan sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8.
Majlis penuh berprestij itu berlangsung pada 22 Oktober lalu di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan cef terkenal, usahawan serta penggiat industri makanan dan minuman (F&B) dari dalam dan luar negara.
Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin meluahkan rasa syukur dan terharu apabila usaha serta perjalanan kariernya dalam bidang kulinari mendapat penghargaan.
Menurutnya, pelbagai pengalaman, cabaran dan individu yang ditemui sepanjang perjalanan tersebut banyak membentuk dirinya sehingga berada pada tahap sekarang.
Anis turut menyifatkan kejayaan itu sebagai satu penghargaan yang cukup bermakna, selain berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan.
Dalam masa sama, Anis mengakui masih mempunyai banyak impian yang ingin dicapai dan berharap dapat terus berkongsi minat serta kecintaannya terhadap dunia masakan dengan lebih ramai orang.
Majlis anugerah tahun ini turut mendapat perhatian apabila dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tuan Steven Sim selaku Tetamu Kehormat.
Turut menyerikan acara ialah dua ikon kulinari antarabangsa, Adjunct Professor Datuk Chef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan yang hadir sebagai Cef Kehormat.
Antara tokoh lain yang turut hadir termasuk bekas Presiden World Chefs Association, Master Chef Thomas Gugler, pengasas Cooking for Charity, Master Chef Jeffrey Tan, OAM, serta Penaung World Gourmet, Lady Puan Sri Datin Sri Dr Susan Cheah.
Selain mengiktiraf pencapaian individu, anugerah tersebut turut meraikan jenama F&B terkemuka dari pelbagai negara termasuk Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring dari Taiwan serta Quan An Ngon dari Vietnam.
Wakil tempatan seperti Andaman Seafood Village, Cooper Mansion dan Seri Bako by Kwan Kee turut menerima pengiktirafan, selain pengasas restoran ikonik Village Park, Madam Kwan’s dan D’Tandoor.
Pengiktirafan yang diterima Chef Anis Nabilah bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan buat dirinya, malah turut menyerlahkan bakat dan sumbangan personaliti kulinari Malaysia di pentas antarabangsa









Leave a Reply