‘Menatap indahnya senyuman di wajahmu, membuat ku terdiam dan terpaku…’
Cukup hanya membaca bait lirik ini, sudah pasti ramai mengenali pemiliknya, siapa lagi kalau bukan Ungu.
Siapa sangka, kumpulan penyanyi terhebat dari seberang itu memilih Malaysia sebagai lokasi bagi meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni mereka dalam industri muzik menerusi konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.
Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio, konsert ini lahir daripada keinginan untuk mengabadikan hubungan erat antara Ungu dan peminat mereka di sini.
“Objektif utama adalah untuk meraikan peminat setia mereka di Malaysia. Dalam tempoh dua jam, Ungu akan mempersembahkan himpunan lagu-lagu terbaik mereka.
“Ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu dokumentasi perjalanan seni Ungu sepanjang tiga dekad dari mula sehinggalah sekarang,” katanya.

Lebih menarik, persembahan tersebut akan membawa penonton menyelusuri evolusi muzik Ungu menerusi tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy”.
Setiap segmen ini menggambarkan perjalanan mereka daripada karya awal yang membentuk identiti, ke era kegemilangan yang dipenuhi pencapaian, hinggalah ke fasa legasi yang melambangkan kekuatan dan kesinambungan mereka dalam industri.
Malam istimewa itu turut akan menampilkan lima artis jemputan yang dipilih sendiri oleh Ungu, yang akan diumumkan secara berperingkat.
Sebanyak tujuh kategori tiket akan ditawarkan, termasuk pakej eksklusif Meet & Greet yang memberi peluang kepada peminat untuk bertemu lebih dekat dengan ahli kumpulan, selain menerima barangan rasmi edisi terhad seperti t-shirt, lanyard, keychain dan beg tote.
Jualan tiket dijangka bermula pada 27 April 2026 dengan tawaran Early Bird sebelum jualan umum dibuka.









Leave a comment