Adam Nuqris melancarkan single debut “Alasan”, membawa kisah jujur perjalanan daripada TikTok ke industri muzik Malaysia dengan sentuhan hip-hop trap yang penuh emosi.
Dalam landskap muzik hari ini, tidak dinafikan ramai bakat muda lahir daripada media sosial. Namun, hanya segelintir yang benar-benar mampu bertahan dan membina nama dalam industri seni tanah air.
Nama Adam Nuqris kini mula mencuri perhatian apabila berjaya melangkah keluar daripada bayangan “viral” semata-mata. Penyanyi berbakat ini dilihat semakin serius mengorak langkah, sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara wajah baharu yang berpotensi dalam arus perdana.
Dikenali menerusi TikTok dengan lebih 68,000 pengikut, Adam menambat hati ramai dengan tona vokal “serak-serak basah” serta penyampaian yang penuh emosi. Kehadirannya menerusi content nyanyian semula lagu-lagu artis seperti Zynakal dan Yonnyboii turut meraih perhatian, malah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bakat yang wajar diberi perhatian.

Di sebalik populariti yang diraih, Adam sebenarnya datang daripada latar kehidupan yang sederhana. Pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut dan berniaga di Kampung Baru, dia membentuk identiti sebagai pemuzik secara sendiri — daripada sesi jamming santai hingga ke pentas kecil sejak usia muda.
Langkah besarnya kini diterjemahkan menerusi single debut berjudul “Alasan”, yang tercetus daripada rakaman ringkas 30 saat di TikTok sebelum mendapat sambutan luar biasa. Lagu ciptaan Kidd Santhe bersama Adam, Saixse dan Altimet ini hadir dengan elemen hip-hop trap, disulam mesej yang lebih mendalam tentang kejujuran emosi dan keberanian untuk melepaskan.
Disempurnakan dengan video muzik sinematik arahan Kripxen, “Alasan” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi naskhah yang membawa cerita dan rasa.
Kini di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Adam Nuqris secara rasmi melangkah ke arus perdana. “Alasan” sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital, sekali gus menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang dijangka lebih besar selepas ini.








Leave a comment