Bukan sekadar pulang ke tanah kelahiran, kemunculan Ella di Pulau Pinang kali ini mencipta satu lagi kenangan manis dalam perjalanan seninya apabila Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru berjaya mencatatkan sold out di Setia SPICE Arena, malam tadi.
Lebih bermakna, konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu turut menjadi pentas istimewa buat Ella meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 bersama ribuan peminat yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan panjangnya dalam industri muzik.
PULANG KE TEMPAT ASAL, DISAMBUT RIBUAN PEMINAT
Bagi Ella, Pulau Pinang bukan sekadar destinasi persembahan.
Di sinilah tempat kelahirannya dan kepulangan menerusi konsep Homecoming seolah-olah membawa Ella kembali kepada akar perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
Tidak hairanlah apabila arena dipenuhi peminat dari Pulau Pinang, negeri-negeri utara malah ada yang sanggup datang dari seluruh Malaysia dan Sumatera, Indonesia semata-mata untuk menyaksikan sendiri persembahan istimewa itu.
Malam tersebut bertambah sentimental apabila Ella diraikan bersama peminat sempena ulang tahun ke-60 sebelum mereka sama-sama larut dalam nostalgia lagu-lagu popularnya.
SATU ARENA, SATU SUARA!

Sebaik sahaja lampu arena dipadamkan, Ella terus menghidangkan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu yang sudah sebati dengan jiwa peminat seperti Rama-Rama, Kesal, Bayangan, Cinta Selembut Sutera, Retak, Tiada Tangis Lagi, Kasih dan Pedih.
Menariknya, bukan Ella seorang yang ‘beraksi’ malam itu.
Seluruh arena turut menjadi sebahagian daripada persembahan apabila ribuan penonton menyanyi bersama, membuktikan karya Ella masih mempunyai bisa dan mampu menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.
RAMLI SARIP & ZIANA ZAIN, MUNCUL BERI ‘MAGIC’!
Kehadiran dua nama besar, Dato’ Ramli Sarip dan Ziana Zain, nyata menjadi antara momen paling dinanti-nantikan.
Dato’ Ramli Sarip menggegarkan pentas menerusi Istilah Bercinta dan Teratai, sebelum bergandingan dengan Ella menerusi Kembara Kita.
Sorakan penonton semakin bergema apabila dua figura besar muzik rock tanah air itu berkongsi pentas dalam satu persembahan yang cukup bertenaga.
Tidak kurang hebatnya Ziana Zain yang tampil dengan Madah Berhelah, sebelum bergabung bersama Ella menerusi medley Senja Nan Merah dan Nuri.
Gabungan dua penyanyi wanita dengan karakter vokal tersendiri itu sekali lagi membuktikan muzik berkualiti tidak pernah mengenal usia.
BUKAN SEKADAR HIBURAN, ADA ‘LOVE’ UNTUK MASYARAKAT
Di sebalik kemeriahan konsert, Homecoming turut membawa mesej positif menerusi kempen “Peace.Love.Rindu”.
Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual disalurkan kepada organisasi kebajikan pilihan peminat iaitu ABIM Pulau Pinang, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.
Langkah itu membuktikan muzik bukan sekadar medium hiburan, tetapi mampu menjadi jambatan untuk menyatukan manusia dan pada masa sama memberi kembali kepada masyarakat.
60 TAHUN, LEGASI TERUS ‘MENYALA’
Kejayaan Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru mencatatkan satu lagi pencapaian manis buat Ella.
Daripada seorang anak kelahiran Pulau Pinang, Ella kini kembali ke negeri asalnya sebagai antara nama paling berpengaruh dalam sejarah muzik tanah air — disambut sebuah arena yang penuh dan peminat yang tidak pernah berhenti menyanyikan lagu-lagunya.
60 tahun bukan noktah buat Rockqueen. Sebaliknya, ia menjadi bukti bahawa apabila muzik lahir daripada jiwa, legasi tidak akan pernah padam.
Dan malam di Pulau Pinang itu membuktikan satu perkara — Ella mungkin sudah 60, tetapi ‘Ratu Rock’ ini masih punya ‘bisa’ yang sama!








Leave a comment