Latihan Pestapora Malaysia 2026 kembali dengan edisi kedua yang berlangsung meriah selama 12 jam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada 15 Ogos lalu.
Dianjurkan Hitman Solutions dan Boss Creator, festival berkenaan menghimpunkan 19 artis Malaysia dan Indonesia merentasi pelbagai genre termasuk pop, rock, indie, ska, R&B dan nostalgia.
Antara momen paling mencuri perhatian ialah kemunculan sulung Last Child di Malaysia. Kumpulan pop-punk Indonesia itu menerima sorakan hebat peminat menerusi lagu popular seperti Duka, Seluruh Nafas Ini dan Sekuat Hatimu.
Tidak kurang menarik, tiga kolaborasi istimewa turut dipersembahkan iaitu Rhoma Irama Soneta X Maliq & D’Essentials, Nadhif Basalamah X Aziz Harun X Aisha Retno serta Masdo X Gerhana Skacinta.
Barisan artis lain yang turut menggegarkan pentas termasuk Tulus, Tipe-X, Ruffedge, Mahalini, Juicy Luicy, Insomniacks, Bernadya, Lah Ahmad, FUGŌ dan ramai lagi.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, pengunjung turut disajikan dengan lebih 20 vendor makanan dan minuman, ruang bergambar interaktif serta pelbagai aktiviti di Universal Music Corner.
Menurut pihak penganjur, maklum balas peminat selepas edisi pertama turut dijadikan panduan bagi memperbaiki pengalaman festival tahun ini.
Dengan gabungan artis, muzik dan budaya daripada dua negara, Latihan Pestapora Malaysia 2026 sekali lagi membuktikan muzik mampu menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.









Leave a comment