Selepas mencipta kejayaan menerusi single “Naa Vera Level” di India, penyanyi rap Kidd Santhe tampil dengan karya baharu berjudul “Aku Level Lain”, yang mengetengahkan identiti, budaya dan warna muzik Malaysia.
Kali ini, Kidd Santhe bergandingan dengan rapper Pantai Timur, Rxf Rhaled, bagi menggabungkan elemen hip-hop moden dengan dialek Kelantan. Kolaborasi itu sekali gus memperlihatkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam sebuah karya yang sarat dengan mesej keyakinan diri, jati diri dan keberanian mengejar impian.
Sebelum ini, “Naa Vera Level” yang menampilkan artis Chennai, Raavanaa Ram, mencipta fenomena apabila meraih lebih satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh empat hari selain mendapat perhatian media India.
Menurut Kidd Santhe, kejayaan tersebut menjadi pencetus untuk menghasilkan “Aku Level Lain” sebagai karya yang meraikan Malaysia.
Menariknya, video muzik lagu berkenaan diarahkan oleh Veshaan Raj dan Kripxen dan menjalani penggambaran sepenuhnya di Kelantan. Keindahan landskap serta budaya Pantai Timur turut diterjemahkan dalam visual yang moden.
“Aku Level Lain” oleh Kidd Santhe feat. Rxf Rhaled dilancarkan di semua platform digital bersama video muzik rasmi pada 31 Julai 2026.








Leave a comment