Selepas mencipta fenomena tahun lalu, Latihan Pestapora Malaysia kini kembali untuk edisi 2026 dengan skala yang lebih besar dan menjanjikan satu pengalaman yang lebih indah buat para pengunjung.
Kali ini, festival muzik rentas sempadan yang dinanti-nantikan ini bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional.
Dibawakan sekali lagi oleh Hitman Solutions bersama Boss Creator, penganjuran tahun ini bukan sekadar ulang tayang kejayaan lalu, sebaliknya tampil dengan konsep yang lebih imersif, segar dan penuh tenaga.
Ia terus mengangkat misi utama menyatukan peminat muzik Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas yang sama.
Mengimbas kembali edisi pertama, Latihan Pestapora Malaysia berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 25,000 pengunjung termasuk sekitar 10,000 peminat dari luar negara.
Dengan barisan 27 artis dari dua negara seperti Bunkface, Bittersweet, Pamungkas, Kunto Aji, Nadin Amizah serta kemunculan istimewa Sheila On 7, festival ini jelas meninggalkan impak besar dalam landskap muzik serantau.
Lebih daripada sekadar hiburan, acara tersebut turut membuka ruang hubungan dua hala antara industri muzik Malaysia dan Indonesia, apabila semakin ramai peminat tempatan mula menunjukkan minat untuk menghadiri festival Pestapora di Jakarta.
Untuk edisi 2026, penganjur tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang dijangka menaikkan lagi pengalaman pengunjung.
Antaranya termasuk ruang festival yang lebih luas dengan lebih 50 vendor makanan dan gaya hidup, selain pelbagai aktiviti menarik sepanjang acara.
Malah, setiap pengunjung turut akan menerima air mineral percuma.
Dari segi muzik pula, lebih 15 artis bakal memeriahkan pentas sepanjang 12 jam tanpa henti, dengan kurasi yang lebih dekat dengan selera peminat tempatan. Sama ada kemunculan pertama atau ‘comeback’ artis kegemaran, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dijangka sekali lagi menjadi medan momen-momen yang sukar dilupakan.
Bagi yang tak mahu terlepas, jualan tiket “Blind Sale” untuk kategori General Admission (Free Standing) telah dibuka bermula 30 April 2026 pada jam 2 petang dengan harga RM129 (tidak termasuk caj tambahan). Ini peluang terbaik untuk menjadi antara yang terawal merasai pengalaman festival ini.
Untuk perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti media sosial rasmi mereka di @latihanpestapora.my atau melayari laman web rasmi http://www.latihanpestaporamalaysia.com









Leave a comment