Sedekad membina nama dalam industri seni, akhirnya penyanyi Syamel berjaya melancarkan album sulungnya yang diberi nama PERTAMA.
Album penyanyi hasil produk rancangan Akademi Fantasia ini berkisarkan tentang kehilangan, kerinduan, harapan dan keberanian untuk memulakan semula, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya.
“Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-dengar dan pelancaran album Pertama.

Dalam pada itu, album ini juga merupakan tanda terima kasih Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly kepada peminat yang terus menyokongnya sepanjang 10 tahun lalu.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya.
Menariknya, karya sulung suami kepada penyanyi Ernie Zakri ini bukan sahaja hasil dari penglibatan beliau sahaja, malah turut bekerjasama dengan nama-nama hebat industri seperti Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin.
Bagi memastikan identiti album kekal dekat dengan dirinya, beliau berjaya menulis dan mencipta 3 naskah berharga yang turut dimuatkan dalam naskah PERTAMA iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia.
Walaupun sebahagian lagu diinspirasikan daripada pengalaman peribadi, album ini turut menyerap kisah dan emosi orang di sekelilingnya.
Bagi Syamel, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan bersifat universal dan muzik memberi ruang kepada pendengar untuk mentafsir setiap lagu melalui pengalaman masing-masing.
“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album
ini,” tambah Syamel.
Album PERTAMA kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 24
Julai 2026 lalu.










Leave a comment