Kumpulan pop terkenal Insomniacks yang sebelum ini popular dengan lagu Pulang dan Reminisensi, kini tampil dengan karya baharu sebuah lagu pop penuh berbahasa Inggeris “Love Me Or Not”.

Meskipun tampil sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, kumpulan yang dianggotai oleh tiga anak muda ini menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mengembangkan sayap ke pasaran antarabangsa.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami mengeluarkan lagu dalam bahasa Inggeris, jadi ia bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat kami.

“Kali ini kami melihat ia sebagai peluang untuk memperkenalkan muzik Insomniacks kepada audiens yang lebih luas, terutamanya di Filipina. Kami ingin mencuba nasib di pasaran yang berbeza daripada Malaysia,” ujar Insomniacks.

Di sebalik melodi yang segar, “Love Me Or Not” mengangkat kisah cinta yang tidak berbalas, tentang seseorang yang memilih untuk terus menyayangi walaupun sedar dirinya bukan lagi sebahagian daripada kehidupan insan yang dicintai.

”‘Love Me Or Not’ mengisahkan tentang menerima hakikat bahawa perasaan kita mungkin tidak akan dibalas, tetapi kita masih ikhlas menyayangi seseorang.

“Kami berharap sesiapa yang pernah melalui situasi seperti ini akan rasa mereka tidak keseorangan apabila mendengar lagu
ini,” kongsi mereka.

Lebih daripada sekadar menghasilkan sebuah lagu baharu, pengalaman tersebut turut membuka ruang untuk Insomniacks meneroka pendekatan kreatif yang berbeza.

Berpeluang berkongsi idea bersama pencipta lagu dari luar negara memberi mereka perspektif baharu tentang proses
penulisan lagu, sekali gus mencabar mereka untuk berfikir dengan lebih terbuka.

“Pengalaman ini benar-benar membuka mata kami. Kami belajar bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam menghasilkan muzik, dan daripada situ kami memperoleh banyak idea serta perspektif baharu. Ia membuatkan kami lebih yakin untuk bereksperimen dan
membawa pendekatan yang berbeza dalam karya-karya kami selepas ini,” ujar mereka.

Karya pop moden yang segar ini diterbitkan oleh Johan Gustafsson dan digubah oleh Rebbi James, Johan, Iqie, Danial dan Iskandar yang turut menulis lirik lagu ini.

Proses adunan (mixing) dan mastering pula dikendalikan oleh Martin
Hansen bersama Johan Gustafsson dengan mengekalkan identiti muzik Insomniacks.

Lebih mengujakan, selepas pelancaran “Love Me Or Not”, Insomniacks bakal melakar satu lagi pencapaian penting apabila diumumkan sebagai opening act bagi konsert kumpulan pop-rock
antarabangsa 5 Seconds of Summer, yang berlangsung pada 17 November 2026 dan 4
Disember 2026.

Peluang ini menjadi satu pengiktirafan besar buat Insomniacks, selain membuka ruang untuk mereka memperkenalkan muzik kepada khalayak yang lebih luas di
pentas antarabangsa.

“Love Me Or Not” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Leave a comment

2,114 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |