Penantian peminat akhirnya terjawab apabila Latihan Pestapora Malaysia 2026 secara rasmi mengumumkan barisan penuh artis yang bakal memeriahkan festival muzik rentas budaya paling dinanti-nantikan tahun ini.

Dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Stadium Hoki Nasional, festival anjuran Hitman Solutions dan Boss Creator itu bakal menghimpunkan nama-nama besar dari Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih meriah dan bermakna buat peminat.

Antara artis Indonesia yang bakal mencuri perhatian termasuk Tulus, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama Soneta, Nadhif Basalamah dan Romantic Echoes. Sementara itu, Malaysia pula diwakili barisan artis popular seperti Aisha Retno, Aziz Harun, Masdo, Insomniacks, Gerhana Skacinta dan FUGŌ.

Lebih menarik, edisi kali ini turut menampilkan beberapa kolaborasi eksklusif yang hanya boleh disaksikan di Latihan Pestapora Malaysia 2026. Antaranya Rhoma Irama Soneta bersama Maliq & D’Essentials, Masdo bersama Gerhana Skacinta, serta gabungan Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno yang dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal berkata sambutan luar biasa terhadap jualan awal tiket membuktikan kekuatan jenama Pestapora serta minat tinggi rakyat Malaysia terhadap festival yang meraikan hubungan budaya serumpun.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman pengunjung, pihak penganjur turut mengumumkan beberapa penambahbaikan termasuk penyediaan stesen air minuman percuma di sekitar kawasan festival.

Sementara itu, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup menyifatkan Latihan Pestapora sebagai platform yang semakin memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik.

Menurutnya, peningkatan kehadiran peminat Malaysia ke Pestapora di Jakarta setiap tahun membuktikan bahawa muzik serumpun terus menjadi medium yang menyatukan kedua-dua negara.

Dengan gabungan artis popular, persembahan eksklusif serta semangat meraikan kepelbagaian muzik Nusantara, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat bersedia untuk sekali lagi menjadi antara festival muzik terbesar dan paling dinantikan di rantau ini.

Leave a comment

1,769 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |