Jenama minuman popular, Auntea Jenny Malaysia, melakar satu lagi pencapaian penting apabila 12 cawangannya kini secara rasmi menerima pensijilan Halal, sekali gus memperkukuh komitmen jenama itu terhadap standard kualiti, pematuhan dan keyakinan pengguna di pasaran tempatan.

Pengumuman tersebut diraikan menerusi satu majlis khas yang berlangsung hari ini dan turut mencuri perhatian dengan kehadiran selebriti Bella Astillah serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Majlis itu turut disaksikan oleh Pengarah Eksekutif JAKIM, YBrs. Ustaz Muhyiddin Aziz @ Saari.

Kemunculan Bella dan Syed Saddiq yang sering menjadi perhatian ramai menambahkan lagi kemeriahan acara, selain memperlihatkan sokongan terhadap usaha jenama tersebut dalam memenuhi piawaian Halal yang semakin menjadi keutamaan pengguna masa kini.

Menurut pihak pengurusan, pensijilan Halal yang diperoleh merangkumi cawangan-cawangan utama di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Melaka. Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyeragamkan operasi dan meningkatkan tahap kepercayaan pelanggan di seluruh negara.

Dalam masa sama, Auntea Jenny turut mengumumkan sasaran untuk mengembangkan rangkaiannya kepada lebih 100 cawangan di Malaysia menjelang penghujung 2026, berbanding hampir 50 cawangan yang beroperasi ketika ini.

Menambah lagi kegembiraan, jenama tersebut turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan ASIA Records menerusi pencapaian Mango Pomelo Sago sebagai minuman teh segar paling laris dalam rangkaian mereka, dengan lebih 85 juta cawan terjual pada tahun 2025.

Bersempena perkembangan terbaharu ini, Auntea Jenny turut melancarkan aplikasi rasmi mudah alih Malaysia bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan sistem keahlian. Sebagai tanda penghargaan kepada pengguna, kempen pemberian 30,000 cawan minuman percuma akan berlangsung di seluruh negara bermula 13 hingga 15 Mei 2026, sementara stok masih ada.

Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia, Ng Ching Wai berkata pensijilan Halal yang diterima bukan sahaja mencerminkan komitmen terhadap sistem kualiti jenama, malah menjadi bukti penghormatan syarikat terhadap keperluan dan kepercayaan pengguna Malaysia.

Dengan pengembangan agresif, pengiktirafan antarabangsa serta sokongan figura popular seperti Bella Astillah dan Syed Saddiq, Auntea Jenny dilihat semakin kukuh mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama minuman yang berkembang pesat di Malaysia.

Leave a comment

1,769 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |