Selepas kejayaan luar biasa lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), penyanyi berbakat besar, Ara Johari kini kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Terlalu Bodoh. Masih mengekalkan konsep ‘galau’ yang menjadi identiti kuatnya, karya ini sekali lagi menampilkan sentuhan komposer seberang, Ilham Baso, yang sebelum ini turut menghasilkan MJOL.

Ara, atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, berkata Terlalu Bodoh merupakan kesinambungan kisah yang pernah disampaikan dalam MJOL—namun kali ini dengan emosi yang jauh lebih perit dan mendalam.

“Bagi Ara, lagu Terlalu Bodoh ni merupakan kesinambungan dari lagu Menjaga Jodoh Orang Lain.
Ia tentang seseorang yang bermati-matian demi cinta namun akhirnya dicurangi. Ara rasa ramai pendengar di luar sana boleh relate dengan lagu ni,” katanya.

Menurut Ara, proses rakaman lagu ini dijalankan di Indonesia pada September lalu dan masih mengekalkan kolaborasi pasukan kreatif yang sama.

“Saya masih mengekalkan khidmat komposer yang sama, Ilham Baso, penggubah muzik Adrian Rahmat Purwanto dan bimbingan vokal daripada Bowo Soulmate,” jelasnya.

Single Terlalu Bodoh diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh mula distrim di semua platform digital bermula 19 November ini.

Untuk rekod, MJOL yang dilancarkan pada 30 Julai 2024 telah mencatat lebih 75 juta pendengar di pelantar penstriman dan YouTube, menjadikan Ara antara penyanyi tempatan yang berjaya menembusi pasaran Nusantara dengan impak besar.

Dengan pelancaran Terlalu Bodoh, Ara Johari sekali lagi membuktikan kekuatan vokal dan penghayatannya dalam genre melankolik yang dekat dengan jiwa pendengar, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita paling menyerlah di Malaysia hari ini.

Leave a comment

1,404 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |