Penyanyi bersuara lantang, Syamel kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “PERTAMA”.
Kali ini, penyanyi yang sinonim dengan lagu balada ini tampil dengan pendekatan berbeza dengan menampilkan sisi lebih groovy, moden dan sarat dengan identiti tersendiri.
Dihasilkan oleh komposer berpengaruh Edry Abdul Halim, lagu “PERTAMA” bukan sekadar lagu cinta biasa. Ia mengangkat konsep “cinta pandang pertama”.
Menurut Syamel, lagu ini meraikan perasaan yang sukar dijelaskan, tetapi cukup kuat untuk mencetuskan rasa bahagia.
“Kadang-kadang bila kita nampak sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi hati kita terus ‘klik’. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.
Dari segi visual, video muzik rasmi “PERTAMA” tampil dengan konsep sinematik yang unik dan penuh elemen fantasi. Ia mengisahkan pertemuan singkat dua individu yang berkembang menjadi kisah cinta indah, sebelum penonton menyedari bahawa semuanya hanyalah imaginasi sekelip mata.
Naratif ini menggambarkan bagaimana satu detik boleh terasa begitu besar apabila emosi hadir secara mendalam.
Lebih menarik, video muzik ini turut menampilkan kolaborasi bersama personaliti digital tempatan, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander, yang membawa sentuhan segar serta karisma tersendiri dalam penceritaan visual tersebut.

Dari sudut muzik pula, “PERTAMA” jelas memperlihatkan transformasi berani Syamel. Jika sebelum ini beliau dikenali dengan lagu-lagu beremosi, kali ini Syamel tampil dengan gaya nyanyian yang lebih santai, playful dan penuh ‘attitude’. Gabungan bunyi moden dengan elemen vintage menjadikan lagu ini unik dan berbeza daripada karya-karya terdahulu.
Kerjasama bersama Edry juga memberi dimensi baharu terhadap persembahan vokalnya. “Edry banyak tekankan soal feel dan attitude. Dia mahu saya keluar daripada zon selesa, dan itu yang menjadikan lagu ini sangat menyeronokkan untuk diterokai,” jelasnya lagi.
Lebih istimewa, “PERTAMA” turut didedikasikan khas buat peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni Syamel sejak awal. Bagi penyanyi ini, mereka adalah antara yang pertama mempercayai bakatnya.
“PERTAMA” juga menjadi simbolik kepada fasa baharu dalam kariernya. Bukan sekadar judul, tetapi titik mula kepada evolusi muzik yang lebih segar dan pelbagai selepas ini.








Leave a comment