Penyanyi dan penulis lagu popular, Nuha Bahrin, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul “Malam-Malam”, sebuah karya yang mengangkat tema kerinduan, kenangan dan emosi yang dekat dengan kehidupan seharian.

Selepas kejayaan besar “Casablanca”, Nuha tampil dengan warna muzik yang lebih matang melalui kolaborasi bersama komposer terkenal, Ezra Kong, di bawah projek kreatif mimpi.. Lagu ini turut menampilkan gabungan unik elemen Arabic, Spanish dan pop Melayu moden, menjadikannya sebuah karya yang segar dan berbeza daripada kebiasaan.

“Malam-Malam” mengisahkan tentang rindu terhadap seseorang yang pernah hadir dalam hidup, namun kini hanya tinggal memori. Simbol bulan dalam lagu ini menjadi lambang masa dan detik indah yang tidak dapat diulang, sekaligus membawa pendengar menyelami rasa kosong antara kebersamaan dan kehilangan.

Menurut Ezra Kong, inspirasi lagu ini lahir daripada kisah benar yang dekat dengan kehidupan masyarakat, termasuk mereka yang berkorban masa kerja seperti anggota polis ketika orang lain menyambut perayaan. Perasaan rindu itu kemudian diterjemahkan menjadi sebuah karya romantis yang lebih universal.

Bagi Nuha pula, lagu ini turut membawa makna peribadi. Ia mengingatkannya kepada versi dirinya yang dulu—lebih yakin, bebas dan tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain. Dalam penyampaian vokal, Nuha memilih pendekatan yang lebih jujur dan “raw”, bagi menyampaikan emosi rindu, kosong dan sedikit keresahan dengan lebih autentik.

Muzik video “Malam-Malam” pula menambah kekuatan naratif lagu ini dengan konsep visual puitis, menggambarkan cinta yang sudah tiada tetapi masih hidup dalam ingatan. Watak lelaki digambarkan hadir sebagai bayangan dalam dunia yang sama, namun tidak pernah benar-benar wujud.

Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha, yang kembali bekerja dengan Ezra Kong serta penulis Sufairah Mohd. Gabungan ini membuka ruang eksplorasi bunyi baharu yang lebih berani dan emosional.

“Malam-Malam” bukan sekadar lagu tentang rindu, tetapi juga refleksi tentang hubungan manusia dengan kenangan dan diri sendiri. Nuha berharap karya ini dapat menemani pendengar, terutama di saat sunyi malam, serta mengingatkan bahawa rasa rindu adalah sesuatu yang sangat manusiawi.

Single “Malam-Malam” boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.

Leave a comment

1,384 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |