TERPUKAU! Itulah yang dirasai oleh 3,000 peminat Diva Pop Tersohor Negara, Fauziah Latiff yang menghadiri konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert di Plenary Hall KLCC pada Sabtu.

Malam yang berlangsung penuh gemilang itu menjadi simbol perjalanan seni empat dekad Fauziah Latiff yang sarat dengan nostalgia manis bersama peminat setianya.

Meskipun sudah lebih 40 tahun berada dalam industri muzik, paduan vokal Fauziah atau lebih mesra disapa Kak Jee sememangnya tidak boleh disangkal lagi kehebatannya sehingga menghadirkan momen yang menyentuh hati para peminat.

Lagu-lagu seperti Dia, Setia Ku Di Sini, Teratai Layu Di Tasik Madu dan beberapa karya ikonik lain berjaya membuatkan satu dewan berdiri meraikan ikon hebat ini sekali gus membawa penonton kembali mengimbau zaman kegemilangan muzik tanah air.

Malah, sorakan dan tepukan gemuruh sepanjang malam jelas membuktikan bahawa nama Fauziah Latiff masih relevan serta dekat di hati pencinta muzik tempatan.

Tidak ketinggalan, gabungan suara bersama Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah turut menggamatkan suasana apabila mereka menyampaikan lagu Kehebatan Cinta. Bukan itu sahaja, Jamal turut membuat persembahan solo menerusi lagu hit beliau, Penghujung Rindu dan Gadis Melayu.

Dalam pada itu, wanita berusia 55 tahun itu menganggap konsert tersebut sebagai satu permulaan baharu untuk terus melangkah aktif dalam bidang seni.

Konsert ini turut diserikan dengan produksi pentas yang eksklusif dan elegan, seiring dengan status Fauziah Latiff sebagai seorang diva. Rekaan pentas tampil dengan nafas moden bersama susunan grafik elegan yang sesuai dengan penampilan anggun beliau dalam empat busana rekaan Ezuwan Ismail Kuala Lumpur, sekali gus menambahkan lagi seri persembahan sepanjang malam.

Iringan muzik daripada Chaan bersama barisan pemuzik profesional, persembahan tarian daripada Onstageproduction serta alunan harmoni daripada Azrin Music Studio menjadikan setiap segmen tampil lebih dramatik dan memukau. Sistem audio dan pencahayaan yang dikendalikan oleh Sound Innovations pula berjaya memberikan pengalaman konsert berkualiti tinggi kepada semua penonton.

Kejayaan 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada semua penaja dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan malam berprestij ini. Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada TJTM (Tukang Jahit Termahir Malaysia) selaku penaja utama, Ideatelier sebagai penganjur serta Hot FM, Kool FM dan Molek FM selaku rakan radio rasmi.

Turut dihargai ialah Ticket2U sebagai rakan tiket rasmi, Kueh selaku rakan katering, Muasmo sebagai rakan florist serta Soora Miguhara yang menyediakan cenderahati istimewa kepada tetamu dan peminat yang hadir.

Leave a comment

1,519 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |