Penyanyi berbakat besar, Marsha Milan, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila impian untuk berduet bersama vokalis kumpulan legenda Indonesia, Pasha Ungu, akhirnya menjadi kenyataan menerusi konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” yang bakal berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September ini.

Dipilih sebagai artis jemputan khas, Marsha menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Ungu sebagai satu penghormatan besar memandangkan lagu-lagu kumpulan itu telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya sejak sekian lama.

Menurut Marsha, hasrat untuk berduet dengan Pasha mula terdetik ketika penyanyi itu membuat persembahan di Gegar Vaganza baru-baru ini, namun tidak menyangka impian tersebut menjadi realiti dalam masa yang singkat.

Walaupun kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Marsha menegaskan beliau tetap komited memberikan persembahan terbaik pada konsert berkenaan. Katanya, pemilihan lagu solo masih dimuktamadkan, manakala lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada pihak Ungu kerana semua karya mereka mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Marsha turut menjanjikan persembahan yang sarat dengan emosi, penceritaan dan momen nyanyian bersama penonton, sekali gus mengimbau nostalgia menerusi deretan lagu popular Ungu yang membesar bersama peminat selama lebih tiga dekad.

Menambah keterujaan, kumpulan Ungu juga dijangka mempersembahkan sebuah lagu baharu buat kali pertama pada konsert tersebut, selain membawakan himpunan lagu hits yang menjadi kegemaran ramai.

Sementara itu, Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy berkata, pemilihan Marsha diyakini mampu melengkapkan sambutan ulang tahun ke-30 Ungu menerusi gandingan vokal yang penuh penghayatan dan emosi.

Dalam masa sama, Marsha mengajak peminat muzik tanah air agar tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert bersejarah itu, apatah lagi tiket kini hampir habis terjual. Beliau mengakui sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas bersama Ungu dan mencipta momen istimewa yang pastinya akan dikenang peminat.

Leave a comment

2,114 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |