Selepas sedekad mewarnai industri muzik tanah air dengan deretan lagu yang menyentuh emosi, penyanyi berbakat besar, Syamel, akhirnya melancarkan album sulung berjudul PERTAMA, sebuah karya yang menjadi simbol perjalanan seni, kematangan serta keberanian untuk memulakan lembaran baharu dalam kariernya.
Mengandungi enam buah lagu, PERTAMA bukan sekadar himpunan karya muzik, malah menjadi diari perjalanan hidup Syamel yang merakam pelbagai fasa kehidupan termasuk kehilangan, kerinduan, harapan dan kekuatan untuk bangkit selepas melalui pelbagai cabaran.
Menurut Syamel, pelancaran album ini merupakan impian yang dipendam sejak sekian lama. Namun, beliau memilih untuk tidak tergesa-gesa menghasilkan album hanya kerana sudah lama berada dalam industri.
“Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” katanya.
Judul PERTAMA dipilih bukan sahaja kerana ia merupakan album sulungnya, malah membawa maksud lebih mendalam sebagai lambang keberanian untuk bangkit semula selepas melalui kegagalan, kehilangan dan kekecewaan. Pada masa sama, album ini turut menjadi penghargaan kepada para peminat yang setia menyokong perjalanan seninya sepanjang sedekad lalu.

Lebih menarik, Syamel menyusun album ini seperti sebuah buku yang mempunyai enam bab. Setiap lagu membawa naratif dan emosi tersendiri, namun apabila didengari mengikut susunan trek, ia membentuk sebuah perjalanan yang lengkap.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah:
- Beribu Tanda Tanya
- Cukup Sekali
- Aku Bukan Dia
- Dalam Kenangan
- Tunjukkan Ku Bahagia
- PERTAMA
Bagi merealisasikan visi album tersebut, Syamel berganding bahu dengan beberapa nama besar industri termasuk Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin. Selain itu, beliau turut terlibat secara langsung dalam proses penulisan dan penciptaan tiga buah lagu iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia bagi memastikan identiti muziknya kekal autentik dan dekat dengan dirinya.
“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujar beliau.
Walaupun sebahagian besar karya dalam album ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya, Syamel turut menyelitkan kisah dan emosi yang dikongsi oleh insan di sekelilingnya. Baginya, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan merupakan pengalaman universal yang mampu dirasai oleh semua pendengar.
Beliau berharap setiap lagu dalam PERTAMA dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan.
“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.








Leave a comment