Ernie Zakri mencipta sejarah tersendiri di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) apabila berjaya merangkul dua anugerah utama iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular, hasil sokongan luar biasa peminat menerusi undian mencecah 124 juta.
Kejayaan berganda ini sekali gus meletakkan nama Ernie sebagai antara figura paling dominan dalam industri muzik tempatan ketika ini.
Mengulas kemenangannya, Ernie menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu kejutan besar dan tidak pernah dijangka. Beliau turut mendedikasikan sepenuh kejayaan itu kepada para peminat setianya, khususnya Ernienators di Malaysia dan Indonesia, yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak awal perjalanan seninya.
Menurut Ernie, sokongan padu peminat amat bermakna memandangkan perjalanan kerjayanya dalam industri muzik bukanlah sesuatu yang mudah dan penuh dengan cabaran.
Tahun 2025 sememangnya menjadi tahun gemilang buat penyanyi bersuara emas ini apabila single Masing Masing berjaya meraih status 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia. Pencapaian tersebut bukan sahaja membuktikan penerimaan luas pendengar terhadap karya beliau, malah mengukuhkan lagi kedudukan Ernie sebagai salah seorang vokalis paling berpengaruh di rantau Nusantara.
Kejayaan di ABPBH 37 turut mendapat pengiktirafan daripada Universal Music Malaysia, yang menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil dedikasi, bakat vokal luar biasa serta hubungan erat Ernie dengan peminat.

Pihak syarikat rakaman itu juga menyatakan komitmen untuk terus mengembangkan kerjaya Ernie ke peringkat serantau, seiring dengan potensi besar yang dimiliki beliau untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Sebagai penutup tahun, Ernie Zakri bakal menghiburkan peminat menerusi Nostalgia NYE Concert yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember ini, sebelum melangkah ke tahun baharu dengan perancangan lebih besar.
Ernie turut memberi bayangan bakal tampil dengan sebuah single Hari Raya baharu pada tahun hadapan, sekali gus menambah keterujaan peminat terhadap perjalanan seni beliau yang terus berkembang dan gemilang.









Leave a comment