Sebuah malam penuh penghayatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW bakal berlangsung menerusi Konsert Malam Qolbu yang dijadualkan pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur sempena sambutan Maulidur Rasul.

Dianjurkan buat julung kalinya oleh Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik Islamik, malah menjadi platform untuk mengajak masyarakat memperbanyakkan selawat, menghayati sirah Nabi Muhammad SAW serta menyuburkan nilai-nilai kerohanian dalam kehidupan.

Menurut wakil penganjur, penganjuran Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab untuk menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melalui medium yang dekat dengan masyarakat masa kini.

Mengangkat konsep Islamik Nusantara Musik, konsert ini bakal menampilkan barisan nama besar seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan. Persembahan turut diperkaya dengan segmen khas termasuk Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, Interlude Pantomim serta Visual Poetry sebelum diakhiri dengan alunan Selawat Nabi yang menyatukan seluruh hadirin.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu mampu membuka lembaran baharu dalam penganjuran hiburan Islamik di negara ini serta membuktikan program berteraskan dakwah dan kerohanian terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk generasi muda.

Konsert ini mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital. Tiket berharga antara RM250 hingga RM350, selain tiket khas pelajar yang turut disediakan.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours, Aftermusic Project dan Laskar Entertainment dalam usaha menghadirkan sebuah acara yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyentuh hati serta mengukuhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Leave a comment

1,880 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |