Walaupun jasadnya telah lama pergi meninggalkan pentas dunia hiburan tanah air, nama Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad masih terus hidup dalam hati rakyat Malaysia. Setiap bait lagu yang pernah dinyanyikan, setiap senyuman yang pernah dihadiahkan dan setiap kenangan yang ditinggalkan masih segar dalam ingatan peminat sehingga hari ini.
Dalam suasana penuh emosi dan penghargaan, EMI Music Malaysia menyerahkan royalti hasil karya Allahyarham kepada waris keluarga sebagai simbol penghormatan terhadap legasi seni yang tidak pernah pudar ditelan zaman.
Majlis yang berlangsung penuh makna itu bukan sekadar penyerahan hak royalti, sebaliknya menjadi bukti bahawa jasa dan sumbangan insan yang digelar Penghibur Rakyat itu masih terus dihargai meskipun beliau telah kembali ke rahmatullah lebih tiga dekad lalu.
Sebagai pemegang katalog karya Allahyarham yang pernah diterbitkan di bawah EMI Records, EMI Music Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memastikan lagu-lagu ikonik Sudirman kekal relevan menerusi usaha pendigitalan, pemulihan audio serta penerbitan semula karya-karya yang pernah menjadi nadi kehidupan rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, penyerahan royalti tersebut bukan sekadar memenuhi tanggungjawab syarikat terhadap waris, malah menjadi tanda penghargaan kepada seorang seniman yang telah mencorakkan sejarah industri muzik negara.
“Allahyarham Dato’ Sudirman bukan sekadar seorang penyanyi. Beliau merupakan ikon budaya yang menyatukan rakyat melalui muzik dan karya-karyanya. Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hasil seni beliau terus dipelihara serta dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif sedang dirancang termasuk kempen digital, pemulihan audio menggunakan teknologi terkini serta peluang pelesenan dalam filem, drama dan kandungan digital bagi memastikan nama Sudirman terus mekar dalam dunia hiburan moden.
Bagi wakil keluarga Allahyarham, Haji Razman Azrai Zainuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Atai, penghargaan yang diberikan itu membawa makna yang amat besar kepada keluarga.
Dengan nada penuh syukur, beliau mengakui keluarga amat tersentuh melihat karya-karya Allahyarham terus dihargai dan diuruskan dengan baik sehingga hari ini.
“Walaupun sudah sekian lama beliau meninggalkan kita, kasih sayang rakyat Malaysia terhadap Allahyarham tidak pernah pudar. Setiap kali lagu-lagunya dimainkan, seolah-olah beliau masih bersama kita,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Atai berkata karya-karya Allahyarham bukan sahaja membawa nostalgia kepada generasi yang membesar dengan lagu seperti Balik Kampung, Tanggal 31 dan Warisan, malah menjadi jambatan kepada generasi muda untuk mengenali sejarah, budaya dan identiti Malaysia.
Majlis itu turut memperlihatkan usaha berterusan memastikan nama Sudirman tidak sekadar menjadi sejarah apabila program Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 diperkenalkan dengan penyertaan lima institusi pengajian tinggi awam.
Melalui program tersebut, bakat-bakat muda diberi peluang menghidupkan semula karya Allahyarham dengan pendekatan lebih segar dan dekat dengan generasi hari ini.
Turut berkongsi kenangan ialah Datuk Aznil Haji Nawawi yang mengakui beliau membesar sebagai peminat tegar Allahyarham.
Menurut Aznil, walaupun tidak pernah mengenali Sudirman secara peribadi, beliau banyak belajar mengenai disiplin, dedikasi dan profesionalisme melalui pemerhatian terhadap perjalanan seni Penghibur Rakyat itu.
“Tokoh seperti Allahyarham sangat sukar dicari ganti. Nilai kerja keras dan kecintaan beliau terhadap seni wajar dijadikan inspirasi kepada generasi baharu,” katanya.

Kemuncak majlis menyaksikan hadirin dibuai nostalgia menerusi persembahan khas seorang busker dan pencipta kandungan digital yang memiliki suara hampir menyerupai Allahyarham Sudirman. Lagu-lagu yang pernah menjadi siulan rakyat Malaysia bergema semula, mengundang rasa rindu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Dalam perkembangan lain yang turut menggembirakan peminat, keluarga Allahyarham memaklumkan bahawa usaha menerbitkan filem biopik mengenai kehidupan dan perjalanan seni Sudirman kini sedang berada pada peringkat pembangunan awal dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), khususnya dalam pembangunan skrip.
Pastinya, berita tersebut menjadi sinar baharu buat jutaan peminat yang mahu melihat kisah perjuangan seorang anak seni luar biasa diangkat ke layar perak.
Sesungguhnya, majlis penyerahan royalti ini membuktikan bahawa seorang legenda tidak pernah benar-benar pergi. Selagi lagu-lagunya dinyanyikan, selagi kisah hidupnya dikenang dan selagi rakyat Malaysia terus menyebut namanya dengan penuh kasih, legasi Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad akan terus hidup — bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai khazanah budaya yang menjadi milik seluruh negara.








Leave a comment