Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya terdahulu, penyanyi Indonesia, Fajar Noor, kini melangkah ke satu fasa baharu dalam perjalanan seninya dengan pelancaran album sulung berjudul Sementara, Selamanya.

Istimewanya, album ini bukan sekadar menghimpunkan lagu-lagu cinta, malah menjadi karya paling peribadi yang pernah dihasilkan Fajar kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya sendiri.

Mengangkat tema cycle of love, Sementara, Selamanya membawa pendengar menyelusuri perjalanan sebuah hubungan, daripada saat pertama jatuh cinta, berdepan konflik, kehilangan, patah hati sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal walaupun hubungan itu seakan-akan sudah berakhir.

Lebih menarik, Fajar tidak sekadar berkongsi kisah percintaan, tetapi turut menyentuh emosi yang sering sukar diluahkan seperti penyesalan, kerinduan dan rasa yang terpendam. Pendekatan itu menjadikan setiap lagu dalam album ini lebih dekat dengan pengalaman hidup ramai pendengar.

Bagi menghasilkan karya yang benar-benar mencerminkan emosinya, Fajar bekerjasama dengan dua penerbit terkenal Indonesia, Arsy Widianto dan Iqbal Siregar. Hasilnya, lahirlah sebuah album berkonsepkan pop balada moden dengan susunan muzik yang ringkas, namun cukup menyentuh perasaan.

Menurut Fajar, menghasilkan album sulung ini bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu berani untuk bersikap jujur terhadap dirinya sendiri.

“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fajar turut membawa khabar gembira buat peminat di Malaysia apabila mengumumkan bakal hadir ke negara ini untuk mempromosikan album Sementara, Selamanya.

Lebih mengujakan, Fajar turut memaklumkan bahawa dia akan mengadakan persembahan album secara langsung di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati lagu-lagu daripada album sulungnya secara lebih dekat.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua. Saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” ujarnya.

Tarikh serta lokasi persembahan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia.

Dengan sentuhan muzik yang sederhana tetapi sarat emosi, Sementara, Selamanya membuktikan kematangan Fajar Noor sebagai penyanyi dan pencerita. Album ini bukan sahaja menceritakan kisah cintanya, malah menjadi teman kepada sesiapa yang pernah melalui episod cinta, kehilangan dan harapan untuk memulakan semula.

Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Leave a comment

1,965 hits

TOP ARTIKEL

| HAKCIPTA | |ALKISAHNYAAA.COM| | POWERED BY RebornX Ilham Media Network |